Apakah faedah dan risiko atovaquone-proguanil untuk merawat malaria yang tidak rumit yang disebabkan oleh parasit Plasmodium falciparum?

Apakah matlamat ulasan ini?

Jenis malaria yang paling lazim, dan paling serius, adalah disebabkan oleh Plasmodium falciparum. Dalam bentuknya yang ringan (tidak rumit), gejalanya adalah demam, sakit kepala, sakit otot, dan muntah. Malaria boleh menjadi penyakit teruk dan mengancam nyawa jika tidak dirawat segera atau dengan ubat yang betul.

Ulasan ini bertujuan untuk mengetahui sama ada atovaquone-proguanil berkesan dan selamat untuk merawat kes malaria P falciparum yang tidak rumit . Kami bertujuan untuk mencapainya dengan membandingkan hasil kajian yang membandingkan atovaquone-proguanil dengan rawatan malaria yang lain.

Mesej utama

Atovaquone-proguanil sama berkesan untuk mengubati malaria Plasmodium falciparum yang tidak rumit seperti artesunate-mefloquine. Ia mungkin kurang berkesan daripada artemether-lumefantrine, artesunate-amodiaquine, dan artesunate-atovaquone-proguanil, walaupun bukti yang lebih kuat diperlukan untuk mengesahkannya. Kesan sampingan kelihatan sama seperti atovaquone-proguanil.

Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengesyorkan merawat malaria tidak rumit dengan terapi kombinasi oral berasaskan artemisinin (dipanggil ACT).

ACT tidak selalu tersedia di seluruh dunia dan, di beberapa tempat, Plasmodium falciparum menjadi tahan terhadap rawatan yang disyorkan (ubat-ubatan tidak berhasil). Kami melihat bukti mengenai faedah dan bahaya kombinasi ubat-ubatan yang bukan berasaskan artemisinin, tetapi mengandungi atovaquone-proguanil. Ini adalah rawatan oral yang biasa digunakan oleh orang-orang dari kawasan bukan malaria untuk mengelakkan mereka daripada terkena malaria ketika mereka pergi ke kawasan malaria. Kami ingin mengetahui sama ada ia berfungsi juga untuk merawat malaria Plasmodium falciparum yang tidak rumit sepertimana ACT dan rawatan malaria yang lain.

Kami mencari ujian terkawal secara rawak (kajian klinikal di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang membandingkan atovaquone-proguanil berbanding rawatan malaria yang lain. Kajian jenis ini memberikan bukti yang paling kuat mengenai kesan rawatan. Kami membandingkan hasil, meringkaskan bukti, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti tersebut.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menemui 17 kajian yang melibatkan 4763 orang dewasa dan kanak-kanak di Afrika, Amerika Selatan, dan Asia Tenggara. Peserta diikuti selama 28 hari hingga satu tahun.

Lima belas kajian membandingkan atovaquone-proguanil terhadap 12 rawatan antimalarial yang berbeza (ACT dalam lima kajian; terapi lain yang menggabungkan beberapa ubat dalam dua kajian; ubat tunggal dalam sembilan kajian).

Lima kajian membandingkan atovaquone-proguanil ditambah ubat lain (artesunate atau chloroquine) berbanding atovaquone-proguanil sahaja (tiga kajian); atovaquone-proguanil ditambah ubat yang berbeza (satu kajian); gabungan terapi yang tidak termasuk atovaquone-proguanil (satu kajian); atau ubat tunggal (dua kajian).

Dalam 15 kajian, para penyelidik dan orang yang dirawat mengetahui ubat yang diterima oleh peserta. Syarikat farmaseutikal membiayai 10 kajian.

Atovaquone-proguanil terhadap ACT yang disyorkan oleh WHO

Atovaquone-proguanil mungkin berfungsi kurang baik untuk membersihkan parasit Plasmodium falciparum dari darah atau mencegahnya kembali (kejayaan rawatan) daripada artemether-lumefantrine (kadar kejayaan dibandingkan 28 dan 42 hari selepas rawatan; satu kajian). Walaubagaimanapun, bukti kajian ini adalah berdasarkan kepada kajian yang sangat kecil.

Atovaquone-proguanil boleh berfungsi juga, atau kurang baik daripada, artesunate-amodiaquine bergantung pada sama ada jangkitan baru yang muncul selepas permulaan rawatan dihitung atau tidak (kadar kejayaan dibandingkan tiga dan 28 hari selepas rawatan; satu kajian). Walau bagaimanapun bukti ini berdasarkan satu kajian kecil terhadap kanak-kanak berusia di bawah lima tahun.

Apabila jangkitan baru selepas permulaan rawatan dikecualikan, terdapat bukti yang kuat bahawa terdapat sedikit atau tidak ada perbezaan dalam kejayaan rawatan antara atovaquone-proguanil dan artesunate-mefloquine selepas 42 hari (dua kajian). Ketika jangkitan baru dihitung, atovaquone-proguanil mungkin lebih baik daripada artesunate-mefloquine, tetapi bukti ini didasarkan pada hasil yang tidak tepat dari satu kajian.

Atovaquone-proguanil berbanding atovaquone-proguanil ditambah artesunate

Berbanding dengan atovaquone-proguanil ditambah artesunate, atovaquone-proguanil mungkin kurang berjaya dalam merawat malaria tanpa komplikasi setelah tiga dan 28 hari, namun bukti ini didasarkan pada hasil dua kajian kecil. Ia mungkin kurang berjaya dalam merawat malaria tanpa komplikasi setelah 42 hari (dua kajian).

Kesan sampingan

Kajian melaporkan beberapa kesan sampingan, seperti mual dan muntah, atau sakit kepala. Kesan sampingan lain adalah serupa antara kumpulan.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Bukti adalah terkini sehingga 30 Januari 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information