Kaedah kawalan kelahiran yang boleh disuntik mungkin mengandungi dua hormon, progestin dan estrogen. Suntikan kontraseptif gabungan (CICs) berkesan mencegah kehamilan dan boleh dihentikan apabila seorang wanita ingin hamil. Kajian ini meneliti CIC tentang bagaimana ia mencegah kehamilan dan pola perdarahan serta kesan sampingan lain yang mungkin berlaku. Kami juga mengkaji sama ada wanita yang berhenti menggunakannya lebih awal dan sama ada wanita sukakan kaedah ini.
Pada Januari dan Februari 2013, kami melakukan carian berkomputer untuk mencari kajian-kajian rawak suntikan kombinasi kontraseptif. Kami memasukkan kajian-kajian yang membandingkan CIC dengan kaedah kawalan kelahiran lain. Kaedah lain termasuklah suntikan kontraseptif lain, sama ada gabungan atau hanya progestin. CIC juga boleh dibandingkan dengan kaedah hormonal lain (seperti pil) atau kondom, diafragma, atau plasebo (atau 'dummy').
Kami mendapati 12 kajian yang mengkaji empat jenis CIC. Kaedah gabungan memerlukan suntikan bulanan. Empat kajian membandingkan CIC dengan 'depo', yang hanya mengandungi progestin. Suntikan 'Depo' perlu diambil setiap tiga bulan. Lima kajian membandingkan CIC dengan suntikan gabungan yang berbeza. Tiga ujian membandingkan gabungan suntikan pelbagai dos hormon yang sama, dengan suntikan progestin sahaja, atau dengan alat intrauterin (IUD).
Lebih ramai wanita yang menggunakan suntikan gabungan mengalami perdarahan yang normal berbanding wanita yang menggunakan suntikan progestin sahaja seperti 'depo.' Juga, kurang wanita yang menggunakan CIC berhenti menggunakannya kerana alasan perdarahan berbanding pengguna progestin sahaja. Walau bagaimanapun, pengguna suntikan gabungan lebih cenderung untuk berhenti menggunakannya secara keseluruhan, dan berhenti atas alasan perubatan lain. Banyak faktor boleh mempengaruhi sama ada wanita terus menggunakan kaedah suntikan gabungan, termasuk sama ada wanita sukakannya.
Diterjemahkan oleh Nurul Nazual Zulkepli Amin (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi nazual@ms.pmc.edu.my