Rawatan antibiotik untuk cirit-birit berkaitan Clostridium difficile dalam kalangan dewasa

Latar belakang

Clostridium difficile ( C. difficile ) adalah bakteria yang dapat hidup tanpa bahaya dalam kolon, tetapi apabila individu mengambil antibiotik untuk keadaan lain, C. difficile dapat tumbuh dan menggantikan kebanyakan flora bakteria normal yang hidup di kolon. Pertumbuhan berlebihan ini menyebabkan cirit-birit yang berkait dengan C. difficile (juga dikenali sebagai jangkitan C. difficile - CDI). Gejala-gejala CDI termasuklah cirit-birit, demam dan sakit. CDI mungkin hanya ringan tetapi dalam kebanyakan kes adalah sangat serius dan, jika tidak dirawat, boleh membawa maut. Terdapat banyak cadangan rawatan untuk CDI, tetapi yang paling lazim adalah memberhentikan antibiotik yang menyebabkan CDI dan mempreskrib antibiotik yang membunuh bakteria tersebut. Banyak antibiotik telah diuji dalam kajian klinikal untuk keberkesanannya dan ulasan ini mengkaji perbandingan antibiotik-antibiotik ini. Ulasan ini adalah kemaskini ulasan Cochrane yang telah diterbitkan terdahulu.

Kaedah

Kami mencari literatur perubatan sehingga 26 Januari 2017. Semua kajian rawak yang membandingkan dua antibiotik yang berbeza, atau variasi dalam dos antibiotik tunggal untuk rawatan CDI disertakan. Kajian-kajian membandingkan antibiotik dengan plasebo (misalnya pil gula) atau tiada rawatan dicari, tetapi kajian terkawal yang selamat untuk satu plasebo berkualiti rendah tidak ditemui. Kajian-kajian yang membandingkan antibiotik dengan rawatan bukan antibiotik tidak disertakan.

Keputusan

Dua puluh dua kajian (melibatkan 3215 peserta) disertakan. Sebahagian besar kajian mendaftarkan peserta dengan CDI ringan hingga sederhana yang boleh bertolak ansur dengan antibiotik oral. Enam belas dari kajian yang disertakan tidak memasukkan peserta dengan CDI teruk dan beberapa peserta dengan CDI teruk dimasukkan dalam kajian-kajian lain. Dua belas antibiotik berbeza telah dinilai. Sebilangan besar kajian membandingkan vancomycin atau metronidazol dengan antibiotik-antibiotik lain. Satu kajian kecil membandingkan vancomycin dengan plasebo (contohnya pil gula). Tiada kajian lain yang membandingkan rawatan antibiotik dengan plasebo atau kumpulan kawalan tanpa rawatan. Tujuh belas daripafa 22 kajian yang dimasukkan bermasalah kualiti. Dalam empat kajian, vancomycin didapati lebih unggul daripada metronidazol untuk mencapai penyembuhan simptomatik yang berterusan (ditakrif sebagai penyelesaian cirit-birit dan tiada CDI berulang). Kami menilai kualiti bukti yang menyokong penemuan ini sebagai sederhana. Antibiotik baharu, fidaxomicin, didapati, dalam dua kajian besar, lebih unggul daripada vancomycin. Kualiti bukti yang menyokong penemuan ini adalah sederhana. Perlu diingat perbezaan keberkesanan antara antibiotik-antibiotik ini tidaklah terlalu besar dan metronidazol adalah jauh lebih murah daripada vancomycin dan fidaxomicin. Analisis gabungan dua kajian kecil mencadangkan teicoplanin mungkin lebih berkesan daripada vancomycin untuk mencapai penyembuhan simptomatik. Kualiti bukti yang menyokong penemuan ini adalah sangat rendah. Kualiti bukti untuk tujuh antibiotik lain dalam ulasan ini adalah sangat tidak baik kerana kajian-kajian sangat kecil, dan ramai pesakit cicir dari kajian sebelum ia selesai. Seratus empat puluh kematian dilaporkan dalam kajian-kajian, di mana kesemuanya adalah akibat masalah kesihatan sedia ada para peserta. Satu-satunya kesan sampingan akibat antibiotik adalah loya yang jarang berlaku dan peningkatan sementara enzim hati. Data kos terkini (Julai 2016) untuk rawatan selama 10 hari menunjukkan bahawa metronidazol 500 mg adalah antibiotik paling murah dengan kos USD 13. Vancomycin 125 mg berharga USD 1779 berbanding fidaxomicin 200 mg pada USD 3453.83 atau lebih dan teicoplanin sekitar USD 83.67.

Kesimpulan

Tiada kesimpulan kukuh yang dapat dibuat tentang keberkesanan rawatan antibiotik bagi CDI yang teruk kerana kebanyakan kajian telah mengecualikan pesakit-pesakit ini. Kurangnya kajian kawalan 'tanpa rawatan' tidak membolehkan sebarang kesimpulan tentang perlunya rawatan antibiotik dalam kalangan pesakit dengan CDI ringan selain penarikan antibiotik yang menyebabkan CDI. Namun, bukti kualiti sederhana mencadangkan vancomycin lebih unggul daripada metronidazole dan fidaxomicin lebih unggul daripada vancomycin. Perbezaan keberkesanan antara antibiotik ini tidaklah terlalu besar dan kelebihan metronidazol adalah kosnya yang jauh lebih rendah berbanding antibiotik lain. Kualiti bukti bagi teicoplanin adalah sangat rendah. Kajian lebih besar diperlukan untuk menentukan jika teicoplanin berperanan sama baik seperti antibiotik lain. Satu kajian yang membandingkan dua antibiotik termurah, metronidazol dan teicoplanin mungkin menarik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amirul Mohd Sallehuddin Mannan (Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information