Soalan ulasan
Ulasan yang dibuat oleh Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane ini bertujuan membandingkan keberkesanan dua jenis ubat tahan sakit yang lazim, paracetamol dan ibuprofen dan kombinasi kedua-duanya di dalam satu tablet bagi mengurangkan sakit selepas pembuangan surgikal gigi geraham bongsu bawah.
Latarbelakang
Di serata dunia, bilangan pembedahan surgikal untuk pembuangan gigi geraham bongsu adalah tinggi, di England sahaja lebih kurang 63,000 gigi dibuang dalam setahun di hospital NHS.Ramai pesakit perlukan cuti dari waktu kerja dan kualiti hidup mereka terjejas.Walau demikian, ramai yang lebih bimbang tentang sakit selepas pembedahan yang boleh menjadi teruk. Kesakitan yang teramat dirasai tiga hingga lima jam selepas pembedahan. Seacara umum, kesakitan yang dialami selepas surgeri oral diguna dengan meluas sebagai model untuk mengukur keberkesanan ubat tahan sakit.
Kedua-dua paracetamol dan ibuprofen sering diguna untuk mengurangkan sakit selepas pembuangan surgikal gigi geraham bongsu bawah. Pada tahun 2010, sejenis ubat tahan sakit baru (dipasarkan sebagai Nuromol) yang mengandungi paracetamol dan ibuprofen dalam satu tablet diberi lesen untuk kegunaan di United Kingdom.
Semua ubat yang dikaji dalam ulasan ini mempunyai kesan sampingan yang minimum apabila diguna dengan betul untuk melegakan sakit jangka pendek.
Ciri kajian
Bukti ulasan yang digunakan dalam ulasan ini adalah terkini sehingga 20 Mei 2013. Tujuh kajian dengan jumlah 2241 peserta yang melibatkan perbandingan terus ibuprofen dan paracetamol atau kombinasi kedua-duanya dimasukkan dalam ulasan ini. Semua peserta telah menjalani pembuangan surgikal gigi geraham bongsu bawah yang memerlukan pembuangan tulang atau setidak-tidaknya menyebabkan sakit yang sederhana. Ubat tahan sakit diberi selepas surgeri dan pelbagai dos dibandingkan.
Kebanayakan kajian dijalankan di USA dan satu di Puerto Rico. Empat kajian berlangsung di fasiliti kajian klinikal, dua di hospital pergigian universiti dan satu di klinik surgeri oral swasta. Umur peserta berbeda sedikit di antara kajian tetapi agak sama iaitu dari 15 hingga 65 tahun. Semua kajian melibatkan peserta lelaki dan wanita.
Semua kajian dalam ulasan ini hanya menilai pengurangan sakit dan maklumat intensiti selepas dos tunggal ubat tahan sakit selepas surgeri. Juga diketahui bahawa sakit akan berterusan dan ubat yang dinilai dalam ulasan ini biasanya diambil setiap enam hingga lapan jam (sehingga maksima empat kali sehari).
Keputusan utama
Ibuprofen lebih berkesan berbanding paracetamol dalam semua dos yang dikaji dalam ulasan ini. Dengan bukti yang terhad, kombinasi ibuprofen dan paracetamol tidak menunjukkan ia lebih berkesan daripada ibuprofen atau paracetamol yang diberi secara berasingan apabila diukur dua jam selepas surgeri. Walau bagaimanapun, juga dengan bukti yang terhad, kombinasi ibuprofen dan paracetamol agak lebih berkesan berbanding jika diberi secara berasingan apabila diukur enam jam selepas surgeri. Peserta yang mengambil kombinasi tersebut memerlukan rawatan menyelamat yang kurang.
Maklumat yang sedia ada berkenaan kejadian buruk daripada kajian-kajian tersebut (termasuk loya, muntah, sakit kepala dan pening) menunjukkan ubat-ubatan adalah setanding di antara kumpulan rawatan. Namun, penulis ulasan tidak dapat menganalisa data secara formal kerana tidak dapat dipastikan jumlah kejadian buruk keseluruhannya.
Kualiti bukti
Semua keputusan (hasil) yang membandingkan ibuprofen dan paracetamol adalah berkualiti tinggi. Ini bermaksud kajian seterusnya tidak mungkin mengubah keyakinan kami dalam menganggarkan kesannya.
Perbandingan kombinasi dengan ubat tunggal, bukti bagi kadar pesakit dengan >50% pengurangan kesakitan maksimum (TOTPAR) selepas dua dan enam jam, dinilai sebagai sebagai mempunyaii sederhana kerana mempuyai anggaran kurang tepat berdasarkan kajian tunggal. Ini bermakna kajian lanjutan mungkin memberi impak penting ke atas keyakinan kami dalam menganggarkan kesan. Bukti untuk menggunakan ubatan penyelamat dinilai sebagai mempunyai kualiti tinggi.
Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my