Penskaleran dan penggilapan rutin untuk kesihatan periodontium dalam kalangan orang dewasa

Soalan ulasan

Ulasan ini memeriksa bukti kesan rawatan penskaleran dan penggilapan rutin. Ia dibuat oleh para penulis yang bekerja dengan Kesihatan Oral Cochrane untuk menilai kesan rawatan penskaleran dan penggilapan rutin untuk orang dewasa sihat; untuk menentukan sama ada selang masa berbeza antara rawatan mempengaruhi kesan-kesasn ini, dan membandingkan keberkesanan rawatan apabila diberi oleh doktor pergigian berbanding ahli terapi atau juruhigin pergigian.

Ulasan ini adalah kemas kini versi yang diterbitkan pada 2013 dan bukti adalah terkini sehingga 10 Januri 2018.

Latar belakang

Penskaleran dan penggilapan mengeluarkan endapan seperti plak dan kalkulus (tartar) dari permukaan gigi. Pembuangan endapan ini dapat mengurangkan gingivitis (penyakit gusi yang ringan) dan mencegah terjadinya periodontitis (penyakit gusi yang teruk). Rawatan penskaleran dan penggilapan rutin juga dirujuk sebagai ”profilaksis”, “pembuangan plak mekanikal profesional” atau “pengalatan periodontium”.

Ramai doktor atau juruhigin pergigian menyediakan pensakleran dan penggilapan untuk kebanyakan pesakit pada selang masa yang tetap jika pesakit dianggap berisiko rendah untuk mendapat penyakit gusi. Terdapat perbahasan sama ada penskaleran dan penggilapan berkesan dan selang terbaik di antara rawatan. Penskaleran adalah prosedur invasif dan dikaitkan dengan beberapa kesan negatif termasuk kerosakan kepada permukaan gigi dan sensitiviti gigi.

Bagi tujuan ulasan ini, ‘penskaleran dan penggilapan rutin’ adalah pensakleran dan penggilapan kedua-dua gigi dan akar gigi untuk mengeluarkan endapan plak (terutama bakteria) dan kalkulus. Kalkulus adalah sangat keras dan tidak dapat dibuang dengan pemberusan gigi sahaja, dan bersama dengan plak, puing dan kesan kotoran lain pada gigi dibuang dengan rawatan penskaleran dan penggilapan. Penskaleran atau pembuangan endapan yang telah mengeras dilakukan dengan peralatan pergigian yang direka khas atau skaler ultrasonik, dan penggilapan dilakukan secara mekanikal dengan pes khas.

Di dalam ulasan ini, pengulas memasukkan penskaleran di atas dan bawah paras gusi; walau bagaimanapun, pengulas tidak memasukkan sebarang prosedur surgikal gusi, sebarang pencucian kimia pada ruang di antara gusi dan gigi (poket) dan pengetaman akar, iaitu kikisan lebih intensif pada akar gigi berbanding penskaleran ringkas.

Ciri-ciri kajian

Pengulas memasukkan dua kajian dengan sejumlah 1711 peserta dalam ulasan mereka. Kedua-dua kajian melibatkan orang dewasa tanpa periodontitis serius yang hadir secara tetap untuk temujanji pergigian di UK. Kajian-kajian dilaksanakan di premis pengamal pergigian umum, yang merupakan persekitaran yang paling sesuai untuk menilai rawatan ‘penskaleran dan penggilapan rutin’. Satu kajian melihat hasil pada 24 bulan dan satu lagi kajian pada 36 bulan.

Keputusan-keputusan utama

Kajian-kajian ini mendapati sedikit atau tiada perbezaan di antara rawatan penskaleran dan penggilapan terancang tetap dengan penskaleran dan penggilapan tidak berjadual bagi tanda-tanda awal penyakit gusi (gingivitis atau pendarahan gusi; endapan plak; kedalaman pemproban atau poket gusi). Terdapat penurunan kecil dalam paras kalkulus (tartar), tetapi adalah tidak pasti jika ia penting untuk pesakit atau doktor pergigan mereka.

Peserta yang menerima rawatan penskaleran dan penggilapan setiap enam bulan atau 12 bulan melaporkan gigi mereka rasa lebih bersih berbanding mereka yang tidak dijadualkan menerima sebarang rawatan. Walau bagaimanapun, ianya kelihatan tiada perbezaan dari segi kualiti hidup di antara kumpulan.

Bukti sedia ada tentang kos rawatan adalah tidak pasti.

Kedua-dua kajian tidak menlihat kesan-kesan sampingan (seperti kerosakan permukaan gigi dan sensitiviti gigi), perubahan paras atakmen, kehilangan gigi atau halitosis (mulut berbau). Kedua-dua kajian juga tidak membandingkan rawatan penskaleran dan penggilapan yang dibuat oleh profesional yang berlainan misalnya doktor pergigian, ahli terapi atau juruhigin pergigian.

Kepastian bukti

Pengulas menilai kepastian bukti sebagai tinggi untuk gingivitis, kedalaman pembroban, kalkulus dan kualiti hidup, tetapi rendah untuk plak, dan rendah hingga sangat rendah untuk persepsi pesakit tentang kebersihan oral. Kepastian bukti untuk kos adalah sangat rendah. Bukti kepastian tinggi untuk gingivitis bermaksud pengulas yakin bahawa penskaleran dan penggilapan rutin tidak mengurangkan tanda-tanda penyakit gusi ringan dengan signifikan apabila diukur sehingga tiga tahun.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information