Kami telah menetapkan untuk menilai keupayaan ejen-ejen antiplatelet, seperti aspirin dan dipiridamol, untuk mencegah wanita daripada mendapat pra-eklampsia semasa mengandung dan meningkatkan tahap kesihatan mereka dan bayi mereka. Kami juga ingin mengetahui sama ada ubat-ubatan ini mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini untuk ibu atau bayi.
Apakah persoalannya?
Adakah aspirin dengan dos rendah membantu untuk mencegah pra-eklampsia, dan mengurangkan jumlah kelahiran pramatang sebelum minggu ke-37, bayi yang kecil-mengikut-umur-gestasi, kematian bayi dan lain-lain kesan yang tidak diingini?
Mengapakah ini penting?
Pra-eklampsia adalah keadaan yang dialami oleh sesetengah wanita sewaktu kehamilan dan dibuktikan dengan tekanan darah tinggi dan protein dalam air kencing. Keadaan ini boleh membawa kepada komplikasi yang serius untuk ibu dan bayi (sebenarnya, ini adalah salah satu penyebab utama penyakit dan kematian dalam kehamilan). Plasenta ibu yang mungkin tidak berfungsi dengan betul, telah menghadkan bekalan darah kepada bayi yang belum lahir maka ini adalah berisiko tumbesaran kurang baik dan dilahirkan lebih awal akibat daripada kelahiran pramatang, atau berkeperluan untuk dilahirkan awal. Pra-eklampsia memberi kesan kepada platelet dalam darah wanita maka platelet lebih bersedia untuk berkumpul dan menyebabkan darah untuk membeku. Ubat-ubat antiplatelet seperti aspirin mencegah pembekuan darah dan mempunyai peranan dalam mencegah pra-eklampsia dan komplikasi-komplikasinya.
Apakah bukti yang kami temui?
Kami telah mencari kajian-kajian rawak terkawal pada Mac 2018. Ulasan kami mengambil kira 77 kajian, melibatkan 40,249 wanita dan bayi-bayi mereka, walaupun adalah tidak mungkin untuk mengambil kira keputusan kajian tiga daripada kajian-kajian ini (233 wanita). Kami menyertakan maklumat tentang keputusan untuk para wanita dan bayi-bayi dalam dua buah format yang berbeza: 36 kajian (34,514 wanita) melaporkan 'data penyertaan individu' (IPD), yang mana kami menerima maklumat tentang setiap individu yang terlibat; semua kajian-kajian lain melaporkan 'data agregat' (AD), yang mana setiap kajian melaporkan maklumat purata mengenai individu-individu yang terlibat dalam kajian tersebut. Dengan menggunakan IPD, kami boleh menjalankan analisis yang sangat teliti dan tepat; dan dengan menggabungkan kedua-dua AD dan IPD, kami boleh menyertakan semua maklumat yang ada mengenai soalan ini.
Sembilan daripada kajian-kajian ini mengambil kira lebih daripada 1000 wanita, dan semua kajian-kajian besar ini mempunyai risiko berat sebelah yang rendah. Dos aspirin yang rendah sahaja adalah intervensi dalam semua kajian-kajian besar, dan kebanyakan kajian secara keseluruhannya. Hampir semua wanita telah direkrut oleh kajian-kajian tersebut selepas minggu ke-12 gestasi. Kebanyakan wanita adalah berisiko untuk mendapat pra-eklampsia, dan kajian-kajian tersebut mengambil kira wanita-wanita dengan tekanan darah normal, tekanan darah tinggi jangka panjang yang sedia ada atau tekanan darah tinggi yang berpunca daripada kehamilan. Bukti berkualiti tinggi menunjukkan bahawa penggunaan ejen-ejen antiplatelet mengurangkan risiko pra-eklampsia sebanyak 18%, atau kurang daripada satu per enam (36,716 wanita, 60 kajian). Ini bermakna bahawa 61 wanita mesti dirawat dengan ubat antiplatelet untuk seorang wanita bagi adanya manfaat dengan mencegah pra-eklampsia. Risiko kelahiran pramatang telah berkurang sebanyak 9% (35,212 wanita, 47 kajian) dan bilangan kematian bayi sebelum lahir atau sekitar masa kelahiran telah berkurang sebanyak 15% (35,391 wanita, 52 kajian). Ejen-ejen antiplatelet telah mengurangkan risiko untuk bayi-bayi kecil-mengikut-umur-gestasi (35,761 ibu, 50 kajian) dan kehamilan dengan kesan keputusan-keputusan yang buruk (17,382 ibu, 13 kajian). Bukti berkualiti sederhana telah menunjukkan bahawa hanya lebih sedikit wanita kehilangan lebih daripada 500 mL darah sebaik sahaja selepas kelahiran, yang dipanggil pendarahan selepas bersalin (23,769 ibu, 19 kajian), menunjukkan bahawa aspirin adalah selamat. Dos aspirin kurang daripada 75 mg kelihatan selamat. Dos yang lebih tinggi mungkin lebih baik, tetapi kami tidak tahu sama ada ini akan meningkatkan kesan-kesan buruk.
Apakah maksudnya?
Aspirin dengan dos rendah dapat mengurangkan sedikit risiko pra-eklampsia dan komplikasi-komplikasinya. Oleh sebab kebanyakan wanita dalam ulasan ini berada dalam kajian-kajian menilai aspirin dengan dos rendah, keyakinan tentang keselamatan penggunaan aspirin mungkin tidak boleh diaplikasi kepada dos yang lebih tinggi atau ejen-ejen antiplatelet yang lain. Penyelidikan yang lebih lanjut perlu bertujuan untuk mengenal pasti wanita-wanita yang berkemungkinan besar untuk memberi tindak balas kepada rawatan aspirin berdos rendah. Sementara adanya kemungkinan bahawa aspirin berdos lebih tinggi boleh menjadi lebih efektif, kajian-kajian lanjut adalah diperlukan untuk mengenal pasti sama ada dos yang lebih tinggi adalah lebih berkesan dan selamat untuk wanita dan bayi.
Diterjemahkan oleh Nor Faezah Binti Zainudin (RCSI & UCD Malaysia Campus (sebelum ini dikenali sebagai Penang Medical College)). Disunting oleh Fairuz Fadzilah Rahim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi faezah@ms.pmc.edu.my