Mesej utama
Magnesium sulfat yang diberikan kepada wanita yang berisiko kelahiran pramatang untuk melindungi otak bayi mereka juga mengurangkan palsi serebral, dan gabungan hasil bagi kematian atau palsi serebral, pada anak-anak mereka sehingga dua tahun, jika dibandingkan dengan plasebo.
Penyelidikan pada masa hadapan dalam bidang ini harus memberi tumpuan kepada kesan rawatan:
• pada kanak-kanak ketika mereka remaja dan dewasa; dan
• untuk pelbagai kumpulan wanita yang berisiko kelahiran pramatang, dan dengan cara yang berbeza dalam pemberian magnesium sulfat.
Apakah magnesium sulfat?
Magnesium sulfat adalah ubat biasa yang digunakan di seluruh dunia untuk pelbagai komplikasi yang berbeza semasa hamil.
Mengapa ini penting bagi wanita yang berisiko kelahiran pramatang dan bayi mereka?
Bayi yang dilahirkan lebih awal (pramatang, sebelum 37 minggu kehamilan) mempunyai risiko komplikasi yang lebih tinggi termasuk kematian dan kecacatan, seperti palsi serebral. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, magnesium sulfat telah diberikan kepada wanita yang berisiko melahirkan bayi pramatang (sama ada disebabkan oleh kelahiran pramatang spontan atau dengn indikasi perubatan untuk merancang cetusan kelahiran atau pembedahan caesar awal) untuk membantu melindungi otak bayi mereka dan mencegah komplikasi ini.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu sama ada magnesium sulfat lebih baik daripada plasebo (rawatan 'palsu' yang tidak mengandungi sebarang ubat tetapi kelihatan sama dengan ubat yang sedang diuji) untuk melindungi otak bayi yang mungkin dilahirkan pramatang.
Kami berminat dengan kesan magnesium sulfat terhadap hasil penting, termasuk: kematian (bayi, atau kemudian sebagai kanak-kanak), palsi serebral, dan 'kecacatan perkembangan saraf' utama (yang mungkin termasuk hasil yang serius seperti palsi serebral, buta, pekak, atau gangguan kognitif atau intelektual global). Kami juga berminat dengan kesan ke atas hasil penting bagi wanita, termasuk komplikasi serius magnesium sulfat (kematian, serangan pernafasan atau jantung), dan pemberhentian rawatan kerana kesan sampingan.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang melihat sama ada magnesium sulfat memberikan faedah atau mudarat kepada wanita dan bayi pramatang mereka berbanding dengan plasebo atau tanpa rawatan. Kami bandingkan dan ringkaskan keputusan-keputusan tersebut dan menilai keyakinan bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui enam kajian yang melibatkan 5917 wanita dengan kehamilan kurang dari 34 minggu dan 6759 bayi mereka. Kajian semuanya dijalankan di negara-negara berpendapatan tinggi. Kajian yang disertakan membandingkan magnesium sulfat dengan plasebo.
Keputusan utama
Berbanding dengan plasebo, magnesium sulfat pada wanita yang berisiko mempunyai bayi mereka pramatang:
•mengurangkan palsi serebral (bukti dari 6 kajian dengan 6107 kanak-kanak) dan hasil gabungan bagi kematian atau palsi serebral (6 kajian, 6481 kanak-kanak) untuk kanak-kanak sehingga usia dua tahun;
•mungkin tidak banyak perbezaan dalam kematian (6 kajian, 6759 kanak-kanak), kecacatan perkembangan saraf utama (1 kajian, 987 kanak-kanak), atau gabungan hasil bagi kematian atau kecacatan perkembangan saraf utama (3 kajian, 4279 kanak-kanak), untuk kanak-kanak sehingga usia dua tahun;
• mungkin tidak banyak perbezaan dalam hasil yang disebutkan di atas untuk kanak-kanak pada usia awal sekolah;
• mungkin tidak memberikan banyak perbezaan dalam komplikasi rawatan yang serius untuk wanita (4 kajian, 5300 wanita), tetapi mungkin meningkatkan bilangan wanita yang menghentikan rawatan kerana kesan sampingan (3 kajian, 4736 wanita).
Apakah batasan bukti?
Kami yakin dengan penemuan kami bahawa magnesium sulfat mengurangkan palsi serebral, dan gabungan hasil bagi kematian atau palsi serebral, pada kanak-kanak sehingga dua tahun.
Kami tidak mempunyai keyakinan terhadap bukti hasil bagi kanak-kanak pada usia sekolah, kerana kajian tidak dapat memberikan data untuk semua kanak-kanak, dan belum ada kajian/data yang mencukupi untuk memastikan keputusannya.
Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap penemuan kami bahawa magnesium sulfat memberikan sedikit atau tiada perbezaan dalam komplikasi serius rawatan untuk wanita, kerana hanya ada satu komplikasi yang dilaporkan dalam satu kajian. Kami mempunyai keyakinan sederhana terhadap penemuan kami bahawa magnesium sulfat mungkin meningkatkan bilangan wanita menghentikan rawatan disebabkan oleh kesan sampingan, kerana penemuannya berbeza dalam seluruh kajian, mungkin kerana proses membuat keputusan yang berbeza untuk pemberhentian rawatan.
Keputusan penyelidikan lanjut bagi hasil yang kami mempunyai keyakinan terhad mungkin berbeza daripada hasil ulasan ini.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 17 Mac 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (IMU University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).