Adakah model penjagaan kesinambungan bidan berbanding model penjagaan yang lain untuk wanita hamil lebih baik untuk wanita dan bayi mereka?

Mesej utama

Wanita atau bayi mereka yang menerima model penjagaan kesinambungan bidan berkemungkinan kecil mengalami pembedahan caesarean atau kelahiran instrumental dengan forsep atau cawan sedutan ventouse, dan boleh kurang mengalami episiotomi (potongan yang dibuat oleh profesional penjagaan kesihatan ke dalam perineum dan dinding faraj). Mereka lebih berkemungkinan mengalami kelahiran faraj secara spontan.

Wanita yang mengalami model penjagaan kesinambungan bidan melaporkan pengalaman yang lebih positif semasa kehamilan, kelahiran, dan selepas bersalin. Di samping itu, terdapat penjimatan kos dalam tempoh antenatal (penjagaan semasa kehamilan) dan intrapartum (penjagaan semasa kelahiran).

Bukti lanjut boleh mengubah keputusan kami, dan penyelidikan masa depan harus menumpukan pada kesan ke atas wanita yang mempunyai faktor risiko sosial, dan mereka yang mengalami komplikasi perubatan, dan memahami pelaksanaan dan peningkatan model penjagaan kesinambungan bidan, dengan penekanan pada negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Apakah model penjagaan kesinambungan bidan?

Model penjagaan kesinambungan bidan menyediakan penjagaan daripada bidan atau pasukan bidan yang sama semasa kehamilan, kelahiran, dan tempoh keibubapaan awal dengan kerjasama pasukan obstetrik dan pakar apabila diperlukan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui bagaimana hasil berbeza untuk wanita atau bayi mereka yang menerima model penjagaan kesinambungan bidan dibandingkan model penjagaan yang lain .

Hasil utama kami adalah: kelahiran spontan melalui faraj, pembedahan caesarean, pembiusan setempat (sekatan tulang belakang atau epidural untuk kebas bahagian bawah badan), perineum utuh (kawasan antara dubur dan vulva), kehilangan janin selepas kehamilan 24 minggu, kelahiran pramatang, dan kematian bayi.

Kami juga melihat kepada pelbagai hasil yang lain, termasuk pengalaman wanita dan kos.

Apa yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan model penjagaan kesinambungan bidan dengan model penjagaan yang lain untuk wanita hamil. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 17 kajian melibatkan 18,533 wanita di Australia, Kanada, China, Ireland, dan United Kingdom.

Kebanyakan kajian ini tertumpu pada wanita yang mempunyai risiko komplikasi yang lebih rendah pada permulaan kehamilan, atau yang diambil dari lokasi geografi tertentu. Bidan terus menyediakan penjagaan perbidanan dengan kerjasama pasukan pakar dan obstetrik jika wanita mengalami komplikasi dalam kehamilan, kelahiran, dan selepas bersalin.

Keputusan utama kami

Wanita atau bayi mereka yang menerima model penjagaan kesinambungan bidan dibandingkan mereka yang menerima model penjagaan yang lain kurang berkemungkinan mengalami pembedahan caesarean atau bersalin melalui faraj dengan alatan, dan kurang mengalami episiotomi. Mereka lebih berkemungkinan mengalami kelahiran faraj secara spontan.

Model penjagaan kesinambungan bidan mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan terhadap kemungkinan mempunyai perineum yang utuh, dan boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kemungkinan kelahiran pramatang .

Kami tidak pasti tentang kesan model penjagaan kesinambungan bidan terhadap pembiusan setempat, kehilangan janin selepas kehamilan 24 minggu, dan kematian bayi.

Wanita yang menjalani penjagaan daripada model penjagaan kesinambungan bidan melaporkan lebih banyak pengalaman positif semasa hamil, kelahiran, dan selepas bersalin. Di samping itu, terdapat penjimatan kos dalam tempoh antenatal dan intrapartum.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap penemuan ini berbeza-beza dan bukti lanjut boleh mengubah keputusan kami. Sebagai contoh, tidak selalunya jelas jika orang yang menilai hasil mengetahui jenis penjagaan yang diterima oleh wanita. Bukti kehilangan janin selepas kehamilan 24 minggu dan kematian bayi adalah berdasarkan bilangan kes yang sangat kecil dan tidak ada kajian yang mencukupi untuk memastikan beberapa keputusan. Kami kekurangan data tentang aspek penting seperti status kesihatan ibu selepas kelahiran, kemasukan semula bayi, atau status kesihatan bayi.

Beberapa kajian memasukkan tumpuan khusus pada wanita yang berisiko tinggi mengalami komplikasi, dan tiada kajian yang menumpukan pada wanita daripada latar belakang yang kurang bernasib baik, yang menunjukkan keperluan untuk penyelidikan masa depan dalam kawasan ini. Ini menyerlahkan keperluan untuk kajian yang lebih komprehensif dan pelbagai untuk mengukuhkan pemahaman dan keyakinan kami terhadap penemuan ini, terutamanya dalam populasi yang berbeza-beza dan merentasi tetapan penjagaan kesihatan berbeza .

Penyelidikan masa depan harus menumpukan pada kesan ke atas wanita yang mempunyai faktor risiko sosial, dan mereka yang mempunyai komplikasi perubatan, dan memahami pelaksanaan dan peningkatan model penjagaan kesinambungan bidan, dengan penekanan kepada negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ini adalah kemaskini ulasan kami terdahulu. Kami menyertakan bukti sehingga 17 Ogos 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca Siswazah, IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information