Teknik pra-peritoneal transabdominal (TAPP) berbanding teknik extraperitoneal sepenuhnya (TEP): kaedah pembedahan lubang kunci mana yang lebih baik untuk memperbaiki hernia pangkal paha pada orang dewasa?

Mesej utama

- Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara teknik pra-peritoneal transabdominal (TAPP) atau sepenuhnya extraperitoneal (TEP) pembaikan hernia pangkal paha dari segi komplikasi serius, sakit kronik, atau hernia berulang.

- Sekiranya teknik TEP digunakan, mungkin terdapat risiko yang lebih tinggi untuk menukar kepada kaedah pembedahan lain semasa prosedur.

- Kajian masa depan harus menyiasat kualiti hidup bagi orang yang menjalani TAPP atau TEP untuk pembaikan hernia pangkal paha.

Apakah hernia pangkal paha?

Hernia pangkal paha adalah kelemahan atau kecacatan pada dinding rongga abdomen yang cukup besar untuk membolehkan tisu badan lembut atau organ dalaman terkeluar. Ia boleh muncul sebagai benjolan di pangkal paha. Bagi sesetengah orang, ia menyebabkan sakit dan ketidakselesaan, dan mengehadkan aktiviti harian dan keupayaan untuk bekerja. Sekiranya usus terperangkap dalam hernia sedemikian rupa sehingga ia tidak dapat ditolak ke belakang, ia berisiko terputus bekalan darahnya, yang berpotensi mengancam nyawa.

Bagaimanakah hernia pangkal paha dirawat?

Hernia pangkal paha sering dirawat dengan pembedahan, walaupun tidak semua hernia memerlukan rawatan. Dalam sesetengah keadaan, jika hernia pangkal paha mempunyai sedikit atau tiada gejala, pesakit boleh, bersama-sama dengan pakar bedah mereka, memutuskan untuk menunggu dan melihat adakah gejala memerlukan pembedahan pada masa depan. Ini dikenali sebagai pendekatan 'menunggu dengan berhati-hati'. Sekiranya pesakit dan pakar bedah memutuskan rawatan pembedahan, terdapat beberapa pendekatan pembedahan yang berbeza.

Garis panduan semasa untuk pembaikan hernia pangkal paha pada orang dewasa mengesyorkan memperbaiki kecacatan hernia menggunakan mesh sintetik. Pembaikan hernia dan penempatan mesh boleh dilakukan dengan pembedahan terbuka atau pembedahan lubang kunci (laparoskopi). Terdapat dua teknik laparoskopi utama: pembaikan praperitoneal transabdominal (TAPP) atau pembaikan sepenuhnya extraperitoneal (TEP). Dengan kedua-dua kaedah, mesh, yang diperbuat daripada bahan sintetik seperti polipropilena, diletakkan di belakang otot-otot dinding abdomen dan di hadapan peritoneum (membran yang melapisi bahagian dalam abdomen dan pelvis, dan meliputi banyak organ di dalamnya). Dalam pembaikan TAPP, pakar bedah membuat potongan di peritoneum dan memasuki rongga peritoneal untuk meletakkan mesh; dalam pembaikan TEP, rongga peritoneal tidak dimasukkan, tetapi mesh diletakkan di tempat yang sama: di belakang otot-otot dinding abdomen dan di hadapan peritoneum.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui bagaimana dua jenis teknik pembedahan lubang kunci untuk pembaikan hernia pangkal paha dibandingkan antara satu sama lain dari segi komplikasi serius, sakit kronik (iaitu sakit yang berlangsung melebihi enam bulan selepas pembedahan), dan hernia berulang. Kami ingin mengetahui sama ada terdapat perbezaan antara teknik untuk kecederaan abdomen semasa pembedahan atau keperluan untuk mengubah kaedah pembedahan pembaikan. Kami juga berminat sama ada terdapat perbezaan antara teknik dalam berlakunya haematoma atau serotoma (darah atau cecair dalam luka) dalam 30 hari selepas pembedahan, atau dalam kualiti hidup jangka panjang.

Apakah yang kami melakukan?

Menggunakan pangkalan data dalam talian dan senarai rujukan, kami mencari kajian yang dikenali sebagai 'kajian rawak terkawal' yang secara rawak memperuntukkan orang dewasa dengan hernia pangkal paha untuk pembedahan menggunakan teknik TAPP atau pembedahan menggunakan teknik TEP. Kami menggabungkan keputusan kajian ini, dan kami menilai risiko berat sebelah dalam kajian. Kami menilai sama ada kepastian kami tentang bukti boleh dianggap tinggi, sederhana, rendah atau sangat rendah.

Apa yang kami temui?

Kami menyertakan 23 kajian dalam ulasan, yang melibatkan sejumlah 2266 peserta dengan hernia pangkal paha. Kajian ini panjangnya pelbagai, dengan yang terpendek berlangsung selama satu minggu dan yang paling lama berlangsung beberapa tahun. Semua kajian dijalankan di tetapan hospital. Kebanyakan kajian tidak melaporkan bagaimana mereka dibiayai. Kebanyakan peserta dalam kajian adalah lelaki, dengan usia purata dalam kajian berkisar dari 24 hingga 60 tahun.

Bukti menunjukkan bahawa mungkin terdapat sedikit atau tidak ada perbezaan antara teknik TAPP dan TEP untuk komplikasi serius, hernia berulang, dan kualiti hidup. Bukti menunjukkan bahawa risiko keperluan untuk menukar kepada kaedah pembaikan hernia yang lain mungkin lebih tinggi dengan kaedah TEP. Kami tidak tahu sama ada terdapat perbezaan antara TAPP dan TEP dari segi sakit kronik, kecederaan abdomen semasa pembedahan, dan pengumpulan darah atau cecair di luka, kerana buktinya sangat tidak pasti.

Apakah batasan bukti?

Kami kurang dan tidak yakin dengan bukti kerana bimbang tentang cara kajian dijalankan, pelbagai cara kajian mengukur hasilnya, dan kejadian buruk yang agak jarang berlaku.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemas kini ulasan sebelumnya. Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Foo Sook Lee (RCSI & UCD Malaysia Campus). Dikemaskini oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information