Soalan ulasan
Pengulas mengkaji bukti mengenai ubatan yang berbeza untuk menguruskan diabetes yang berkaitan dengan fibrosis sista (CFRD).
Latar belakang
Fibrosis sista (CF) adalah keadaan genetik yang membataskan kehidupan lazim, terutamanya menyebabkan kerosakan pada paru-paru dan pankreas. Pankreas menghasilkan insulin, hormon yang diperlukan tubuh untuk mengambil gula ke dalam sel agar dapat ditukarkan menjadi tenaga. Sehingga 90% dalam kalangan orang dengan CF, mempunyai masalah dengan pankreas dan enzim pencernaan yang bermaksud nutrien tidak diserap dengan betul. Orang dengan CF memerlukan diet berkalori tinggi dan berprotein tinggi untuk membekalkan tenaga yang mencukupi untuk mengekalkan jisim otot agar dapat menyokong pernafasan mereka dan menampung kesukaran bernafas dari paru-paru yang dirosakkan oleh penyakit. Penting bagi orang dengan CF untuk mengubah gula menjadi tenaga dengan cekap. Ini amat mencabar terutamanya bagi penghidap CFRD kerana kerosakan pada pankreas mempengaruhi pengeluaran dan pelepasan insulin. Keradangan yang berlaku pada CF dapat mengurangkan pengeluaran insulin dan mengurangkan kesannya dengan menyebabkan ketahanan insulin. Peningkatan jangka hayat bagi penghidap CF bermakna 50% orang dewasa dengan CF cenderung menghidap CFRD.
Pengulas ingin menilai rawatan yang berbeza terhadap CFRD bagi membatasi sebarang kemerosotan kesihatan yang berkaitan. Ini termasuklah sumber insulin tiruan (seperti glargine bertindak lama atau insulin protamine bertindak sekejap), kawalan hormon semula jadi yang merangsang pelepasan insulin dan ubat-ubatan yang meningkatkan pelepasan insulin seseorang atau mempengaruhi ketahanan insulin.
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga: 10 September 2020.
Ciri-ciri kajian
Pengulas memasukkan empat kajian (145 orang dewasa). Dua kajian membandingkan insulin dengan tanpa rawatan selama dua bulan (tujuh peserta) atau dengan plasebo (ubat palsu tanpa bahan aktif) selama satu tahun (61 peserta). Kajian ini, bersama dengan kaijan ketiga berlangsung selama dua tahun (67 orang dewasa), juga membandingkan insulin (diberikan melalui picagari) dengan tablet repaglinide. Percubaan keempat (20 peserta) membandingkan insulin glargine bertindak lama dengan insulin neutral protamine Hagedorn jangka pendek dalam tempoh 12 minggu.
Keputusan utama
Pengulas menemui keputusan untuk hasil utama tahap glukosa darah, fungsi paru-paru dan status pemakanan dan hasil sekunder eksaserbasi paru-paru (kemarakan penyakit), komplikasi dan kualiti hidup. Pengulas hanya dapat menganalisis hasil yang terhad dan tidak menemui bukti yang menunjukkan bahawa satu rawatan lebih baik daripada yang lain. Analisis tidak menunjukkan sama ada insulin atau repaglinide memberikan perbezaan pada hasil yang ditemui berbanding dengan plasebo atau tanpa rawatan pada bila-bila masa. Begitu juga, kebanyakan keputusan tidak menunjukkan sama ada insulin atau repaglinide lebih baik, tetapi buktinya sedikit lebih kuat bahawa tidak ada perbezaan dalam fungsi paru-paru, status pemakanan atau tahap glukosa darah pada 12 bulan. Serupa juga, bukti itu tidak cukup kuat untuk menunjukkan jika ada perbezaan antara glargine dan insulin neutral protamine Hagedorn untuk sebarang ukuran hasil yang pengulas temui. Tidak ada kajian melaporkan sekiranya terdapat kematian.
Memandangkan beban rawatan yang sudah dialami oleh orang dengan CF, tablet mungkin merupakan alternatif yang baik kepada suntikan insulin. Kajian jangka panjang dengan jumlah orang yang lebih besar masih diperlukan untuk melihat sama ada dengan mengawal CFRD dapat mempengaruhi fungsi paru-paru. Penyelidik juga harus menilai bilangan orang yang mengikuti pelan rawatan mereka ketika membandingkan insulin dengan tablet. Penyelidikan harus melihat penggunaan ubat-ubatan bersendirian atau bersama-sama dengan insulin untuk meningkatkan tindakan insulin, terutamanya agen yang mempunyai potensi anti-radang tambahan.
Kualiti bukti
Pengulas mempunyai beberapa kebimbangan mengenai kualiti bukti; terutamanya bahawa akan berlaku bias kerana doktor mungkin mengetahui terlebih dahulu kumpulan rawatan mana orang yang berikutnya akan dimasukkan (contohnya peserta yang lebih sihat mungkin dimasukkan ke dalam satu kumpulan untuk menunjukkan keputusan yang lebih baik untuk rawatan tersebut) atau bias dari orang yang mengambil bahagian dengan mengetahui kumpulan rawatan mereka berada (misalnya insulin melalui picagari atau repaglinide sebagai tablet). Ia mungkin terdapat bias kerana keputusan hanya dilaporkan secara selektif. Pengulas mempunyai beberapa kebimbangan bahawa analisis tidak tepat disebabkan oleh jumlah peserta yang kecil dan kadar kejadian yang rendah. Akhirnya, mungkin terdapat bias dalam keputusan kerana jumlah insulin dan repaglinide yang diberikan tidak setara.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my