Latar belakang
Delirium adalah biasa dalam orang yang sakit tenat. Seseorang yang mengalami delirium mungkin keliru, kurang tumpuan, mengalami corak tidur dan bangun yang terganggu, dan mengalami halusinasi. Delirium boleh bermula secara tiba-tiba dan boleh menyebabkan kesusahan kepada pesakit dan keluarga mereka. Delirium mungkin disebabkan oleh penyakit berkaitan yang dialami oleh pesakit yang terjejas, atau sebagai kesan sampingan ubat-ubatan atau gejala lain. Selalunya ia adalah tidak jelas mengapa seseorang itu mengalami delirium. Sifat delirium yang mempunyai pelbagai aspek menjadikan pengurusannya mencabar. Apabila ia adalah tidak mungkin untuk mengenal pasti punca penyebab, rawatan ubatan kadang kala digunakan untuk menguruskan gejala.
Ciri-ciri kajian
Tujuan ulasan ini adalah untuk mencari yang kita tahu tentang keberkesanan dan kesan sampingan ubat-ubatan dalam pengurusan delirium dalam orang dewasa yang sakit tenat. Bagi tujuan ulasan ini, orang dewasa yang sakit tenat termasuklah sesiapa yang mengalami penyakit progresif yang teruk seperti kanser lanjut, demensia lanjut atau kegagalan organ, serta mereka yang menerima rawatan dan penjagaan akhir hayat. Kami membandingkan terapi ubatan dengan plasebo (bahan yang tidak mempunyai kesan aktif yang diketahui), penjagaan biasa, atau apa-apa ubatan lain atau rawatan bukan ubatan.
Keputusan utama
Carian kami hingga Julai 2019 mendapati empat kajian, melibatkan 399 orang dewasa secara keseluruhan. Para peserta mempunyai kanser lanjut (tiga kajian) atau AIDS lanjut (satu kajian), dan semua mempunyai gejala delirium. Ubat-ubatan yang dinilai adalah antipsychotics (tiga kajian) atau benzodiazepin (satu kajian), dibandingkan dengan plasebo atau antara satu sama lain, sendiri atau gabungan dengan ubat lain atau plasebo.
Kebanyakan kajian melaporkan hasil yang kami anggap paling penting: gejala delirium, kegelisahan, dan kejadian buruk (kesan sampingan).
Adalah tidak mungkin untuk menggabungkan data dari kajian yang berbeza disebabkan oleh kekurangan persamaan antara mereka. Kami mendapati bukti yang berkualiti rendah bahawa ubat-ubatan tertentu (haloperidol dan risperidone) mungkin sedikit memburukkan gejala delirium untuk orang dewasa yang sakit tenat dengan delirium tahap ringan hingga sederhana. Kami mendapati bukti yang berkualiti sederhana bahawa haloperidol mungkin meningkatkan sedikit kesan sampingan yang buruk untuk orang yang mempunyai delirium tahap ringan hingga sederhana.
Kualiti bukti kajian
Kami menilai kualiti bukti dari kajian-kajian menggunakan empat tahap: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Kualiti bukti yang sangat rendah bermaksud bahawa kami sangat tidak pasti mengenai keputusannya. Bukti berkualiti tinggi bermakna kami sangat yakin dengan keputusannya. Kami mendapati tiada bukti yang berkualiti tinggi. Ini adalah kerana sedikit orang yang mengambil bahagian, bilangan orang yang menarik diri dari kajian, dan bilangan kajian yang sedikit.
Kesimpulan
Kami mendapati bukti berkualiti rendah yang, berbanding dengan plasebo, terapi ubatan (khususnya haloperidol dan risperidone) mungkin memburukkan sedikit gejala delirium dalam orang dewasa yang sakit tenat dengan delirium tahap ringan hingga sederhana. Kami mendapati bukti berkualiti rendah hingga sederhana bahawa ubat-ubatan ini mungkin meningkatkan sedikit kesan sampingan yang buruk. Memandangkan jumlah kajian dan peserta yang sedikit di mana bukti semasa adalah didasarkan, penyelidikan lebih lanjut adalah penting.
Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my