Terapi keluarga untuk mereka yang telah didiagnosis dengan anoreksia nervosa

Soalan ulasan

Ulasan ini cuba mengkaji adakah terapi keluarga mengurangkan kadar anoreksia nervosa (AN), atau simptom yang berkaitan dengannya, berbanding dengan rawatan yang lain.

Latar belakang

Pesakit AN mempunyai berat badan yang sengaja dikekalkan rendah dan imej badan yang salah. Mereka juga selalunya mempunyai masalah perubatan dan psikologi yang berkaitan dengan AN, dan risiko kematian (mortaliti) disebabkan oleh keadaan ini secara relatifnya adalah tinggi. Terapi keluarga adalah satu jenis pendekatan rawatan yang digunakan dalam AN.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga 8 April 2016.

Ciri-ciri kajian

Kami masukkan 25 kajian dalam ulasan ini. Empat belas kajian menggunakan terapi berlandaskan keluarga, satu menggunakan terapi keluarga ber-sistem, satu menggunakan terapi keluarga ber-struktur dan tujuh kajian menggunakan terapi dengan penglibatan keluarga tetapi tidak memberikan perincian khusus mengenai teori disebalik terapi ataupun prosedur yang digunakan, yang dikenali terapi keluarga lain-lain. Dua kajian memasukkan, dua cabang terapi keluarga: satu melibatkan terapi berasaskan keluarga bersistem bagi satu cabang, dan satu cabang lagi melibatkan terapi keluarga bersistem dan cabang terapi keluarga lain-lain. Empat kajian membandingkan pendekatan terapi keluarga dengan rawatan lazim, enam membandingkan pendekatan terapi keluarga dengan intervensi psikologi yang lain dan dua membandingkan terapi keluarga dengan intervensi pendidikan. Dua belas kajian membandingkan berbagai jenis pendekatan terapi keluarga antara satu dengan yang lain. Dua kajian melibatkan kedua-duanya rawatan seperti biasa dan juga cabang intervensi psikologi yang lain.

Keputusan utama

Keseluruhannya terdapat beberapa bukti berkualiti rendah dari hanya dua kajian yang mencadangkan pendekatan terapi keluarga mungkin lebih baik dari rawatan lazim untuk jangka pendek. Saiz dan kualiti bukti asas dan tahap konsistensi yang sangat rendah oleh kajian-kajian ini tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan pada masa ini mengenai samada pendekatan terapi keluarga menawarkan faedah yang jelas melebihi intervensi pendidikan atau psikologi. Kami menemui perbezaan yang sangat sedikit antara kumpulan-kumpulan rawatan ke atas berat badan, simptom masalah pemakanan dan kefungsian dalam keluarga, dan perbezaan-perbezaan ini pada umumnya adalah tidak dapat dikekalkan semasa pertemuan susulan. Laporan kadar kematian tidak cukup jelas bagi menilai samada kadar kematian dapat dikurangkan bagi mereka yang dirawat dengan pendekatan terapi keluarga berbanding intervensi-intervensi lain. Terdapat maklumat yang sangat sedikit mengenai kesan-kesan intervensi ke atas kefungsian umum atau di dalam keluarga.

Kualiti bukti

Cara kajian dilaksanakan tidak dijelaskan secukupnya dalam banyak kajian dan kami temui potensi risiko dalam kebanyakan kajian. Ini menghadkan kesimpulan bermakna yang boleh kami simpulkan daripada kajian-kajian ini.

Kesimpulan penulis

Pada keseluruhannya, bukti asas dalam bidang ini adalah sangat terhad Terdapat beberapa bukti berkualiti rendah untuk mencadangkan pendekatan terapi keluarga mungkin lebih berkesan berbanding rawatan seperti biasa dalam jangka pendek. Terdapat bukti yang tidak mencukupi bagi menentukan samada pendekatan terapi keluarga menawarkan apa-apa manfaat melebihi intervensi pendidikan, terapi psikologi jenis lain, atau samada satu jenis pendekatan terapi keluarga adalah lebih berkesan dari yang lain. Kebanyakan kajian yang menyumbang kepada kesimpulan di atas dijalankan pada remaja dan orang dewasa muda. Terdapat implikasi yang jelas mengenai bagaimana pendekatan terapi keluarga boleh diberikan kepada kumpulan umur yang berbeza, dan kami perlukan kajian lanjut pada masa hadapan untuk memahami kesan yang boleh terjadi disebabkan oleh kaedah rawatan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information