Peritonitis bakterial spontan (yakni, jangkitan dan keradangan selaput lapisan rongga perut atau peritoneum) merupakan komplikasi yang kerap terjadi dalam kalangan penghidap sirosis (yaitu penyakit hati tahap akhir di mana terdapat pembentukan jaringan parut secara kekal di hati) dan dikaitkan dengan kadar kematian dan kesakitan yang signifikan. Penyahcemaran usus tersasar menerusi rawatan antibiotik, merupakan salah satu langkah pencegahan (profilaksis) yang disarankan. Ulasan sistematik ini bertujuan menilai sama ada penggunaan antibiotik profilaksis mampu mencegah peritonitis bakterial spontan dan mengurangkan kadar kematian. Sembilan buah kajian terangkum ulasan ini. Kadar tergembleng peritonitis bakterial spontan dan kadar kematian terkumpul akibat peritonitis bakterial spontan menunjukkan bahawa profilaksis antibiotik mampu mengurangkan insiden peritonitis bakterial spontan dan kadar kematian yang terkait penyakit ini. Bilangan laporan berkenaan kesan sampingan antibiotik profilaksis ternyata sedikit. Namun, apabila kajian-kajian tersebut diulas, kami mendapati ia dibatasi oleh kaedah yang lemah, kepincangan penerbitan dan tempoh pantauan yang terlalu singkat. Oleh hal yang demikian, saranan memulakan rawatan profilaksis antibiotik dalam kalangan penghidap sirosis hati tanpa pendarahan saluran cerna didapati kurang andal lantaran mutu rendah hasil kajian-kajian tersebut. Oleh itu, apabila diambilkira keseluruhan potensi bahaya, baik terhadap pesakit individu mahupun masyarakat umum, maka kajian yang berlandaskan rekabentuk yang lebih utuh,selain laporan hasil kajian yang lebih baik serta tempoh pemerhatian susulan yang lebih lama, merupakan suatu prasyarat sebelum profilaksis antibiotik dapat disyorkan secara pasti.
Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Royal College of Surgeons in Ireland - Perdana University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi nathanaellee92@gmail.com