Ulasan soalan
Penulis ulasan Cochrane mengkaji keberkesanan dan keselamatan kaedah yang digunakan untuk melegakan kesakitan pada wanita semasa pengambilan oosit transvaginal - teknik yang digunakan untuk mengumpul telur dari ovari, untuk membolehkan persenyawaan di luar tubuh.
Latar belakang
Sedasi sedar terdiri daripada penggunaan dadah atau ubat-ubatan untuk menghasilkan keadaan santai yang membolehkan rawatan dijalankan, di mana interaksi verbal dengan pesakit dikekalkan sepanjang tempoh sedatif. Sedasi sedar dan analgesia sedar adalah kaedah yang digunakan untuk melegakan kesakitan semasa menjalani pembedahan untuk mendapatkan telur dari ovari sebagai sebahagian daripada prosedur persenyawaan in vitro (iaitu dalam persekitaran buatan seperti makmal). Kebimbangan termasuk ubat-ubatan yang digunakan untuk sedasi dan pelegaan sakit mungkin memberi kesan buruk pada kadar kehamilan.
Ciri-ciri kajian
Kajian ini mengenal pasti 24 percubaan terkawal rawak, melibatkan 3160 wanita, membandingkan kesan-kesan lima kaedah sedatif sedar dan pelegaan sakit termasuk anestesia am. Percubaan terkawal rawak menggunakan kaedah penyelidikan yang bertujuan untuk mengurangkan berat sebelah apabila rawatan baru diuji dengan memperuntukkan peserta secara rawak (iaitu secara kebetulan sahaja) untuk menjalani rawatan atau rawatan kawalan. Bukti adalah terkini sehingga November 2017.
Keputusan utama
Bukti tidak menyokong satu kaedah atau teknik tertentu yang lain untuk memberikan sedasi sedar dan analgesia yang berkesan untuk melegakan kesakitan semasa dan selepas pengambilan oosit. Penggunaan serentak sedasi yang digabungkan dengan analgesia seperti opiod, dipertingkatkan lagi dengan teknik blok paraserviks atau akupunktur, menyebabkan kelegaan sakit yang lebih baik daripada berlaku dengan satu kaedah sahaja. Bukti tidak mencukupi untuk menunjukkan secara konklusif sama ada mana-mana intervensi mempengaruhi kadar kehamilan. Semua teknik yang dikaji dikaitkan dengan kepuasan pesakit yang tinggi. Adalah sesuai untuk mempertimbangkan pilihan wanita dan pilihan sumber yang se untuk melegakan kesakitan dalam amalan.
Kualiti bukti
Bukti umumnya berkualiti rendah atau sangat rendah, terutamanya disebabkan oleh kaedah laporan yang kurang baik dan saiz sampel kecil dengan kadar kejadian yang rendah. Memandangkan wanita mempunyai pengalaman yang berbeza terhadap kesakitan dan kesedaran tentang strategi untuk mengatasi kesakitan, kaedah yang optimum mungkin adalah secara individual.
Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Intan Juliana Abd Hamid (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi mastura.malek78@gmail.com