Vaksin untuk mencegah influenza bermusim dan kesan sampingannya dalam kalangan warga berumur 65 ke atas

Matlamat ulasan

Matlamat Ulasan Cochrane ini, yang pertama kali diterbitkan pada 2006, adalah untuk merumuskan penyelidikan yang mengkaji kesan imunisasi ke atas warga tua (yang berumur 65 ke atas) dengan vaksin influenza semasa musim-musim influenza. Kami menggunakan maklumat daripada percubaan terawak yang membandingkan vaksin influenza dengan vaksin palsu atau tanpa vaksin. Vaksin influenza disediakan dengan merawat virus influenza dengan menggunakan sejenis bahan kimia yang membunuh virus tersebut (virus yang tidak teraktif), dan ia diberikan melalui suntikan menerusi kulit. Kami berminat untuk menilai kesan vaksin dalam pengurangan bilangan warga tua yang disahkan dijangkiti influenza dan bilangan mereka yang mengalami gejala jangkitan influenza seperti sakit kepala, demam, batuk, dan sakit otot (penyakit seperti influenza atau influenza-like illness, atau ILI) serta kesan buruk vaksin. Kami mencari bukti bagi kesan jangkitan influenza atau ILI seperti kemasukan hospital, komplikasi dan kematian. Kami hanya akan mengemaskini ulasan ini pada masa hadapan apabila terjumpanya kajian atau vaksin baharu .

Data pemerhatian daripada 67 kajian yang termasuk dalam versi ulasan sebelum ini telah dikekalkan atas sebab sejarah tetapi tidak dikemaskinikan kerana kekurangan pengaruhnya ke atas kesimpulan ulasan.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Lebih daripada 200 virus boleh menyebabkan ILI, dan membawa simptom-simptom yang sama (demam, sakit kepala, sakit badan, batuk dan hidung berair). Tanpa ujian-ujian makmal, doktor tidak dapat membezakan virus penyebabnya, kerana semuanya berlarutan untuk beberapa hari dan jarang membawa kepada penyakit yang serius. Pada tahap yang terbaik, vaksin hanya berkesan terhadap influenza A dan B, yang mewakili kira-kira 5% daripada semua virus dalam peredaran. Vaksin yang tidak teraktif disediakan melalui rawatan virus influenza dengan sesuatu agen kimia yang "membunuh" virus tersebut. Penyediaan akhir mungkin mengandungi sama ada virus yang lengkap (vaksin-virion menyeluruh atau whole virion vaccine ) atau hanya bahagian virus yang aktif (vaksin terpisah atau subunit). Vaksin-vaksin ini selalunya diberikan melalui suntikan menerusi kulit. Strain virus yang terkandung dalam vaksin adalah selalunya virus yang dijangka akan disebarkan dalam musim wabak yang berikut (dua jenis strain A dan satu atau dua strain B), seperti yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (vaksin bermusim). Vaksin pandemik mengandungi hanya strain virus yang bertanggungjawab ke atas pandemik (contohnya H1N1 jenis A bagi pandemik 2009 ke 2010).

Mesej-mesej utama

Vaksin yang tidak teraktif boleh mengurangkan kadar warga tua yang mendapat jangkitan influenza dan ILI. Data mengenai kematian adalah jarang, dan kami mendapati tiada data mengenai kemasukan hospital akibat komplikasi. Walau bagaimanapun, perbezaan dalam keputusan kajian menunjukkan kami tidak boleh mengenal pasti betapa besarnya perbezaan kesan vaksin berkenaan merentasi pelbagai musim.

Keputusan utama

Kami mendapati lapan kajian rawak terkawal (lebih daripada 5000 orang), di mana empat kajian menaksir kesan buruk. Kajian-kajian tersebut telah dijalankan dalam masyarakat dan pusat jagaan kediaman di Eropah dan Amerika Syarikat dari tahun 1965 hingga tahun 2000.

Kadar jangkitan influenza semasa suatu musim dalam kalangan warga tua yang menerima vaksin influenza dikurangkan daripada 6% ke 2.4%. Ini bermakna 30 orang perlu diberi vaksin virus influenza yang tidak teraktif bagi mengelakkan satu kes influenza. Warga tua juga mungkin kurang mengalami kurang ILI, daripada 6% kepada 3.5%. Ini bermakna 42 orang perlu diberikan vaksin bagi mencegah satu kes ILI. Maklumat mengenai jangkitan paru-paru dan kematian adalah terhad. Data adalah tidak mencukupi bagi memastikan kesan vaksin ke atas kematian. Tiada kes jangkitan paru-paru didapati dalam satu kajian yang melaporkan hasil ini, dan tiada data kemasukan hospital dilaporkan. Kami tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk menilai kesan-kesan buruk yang berkaitan dengan demam dan loya dalam kalangan populasi ini.

Kesan vaksin influenza pada warga tua agak sederhana, tanpa mengambil kira persekitaran, hasil, populasi, dan reka bentuk kajian.

Adakah ulasan ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga 31 Disember 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zcho Huey Lee (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College) untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi zchohuey_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information