Bronchiolitis adalah jangkitan saluran pernafasan dan paru-paru akut yang paling umum pada tahun-tahun awal kehidupan. Ia disebabkan oleh virus, yang paling umum adalah virus respiratory syncytial. Penyakit ini bermula seperti deman selsema, dengan simptom seperti hingus, demam ringan dan batuk. Ia kemudian membawa kepada pernafasan yang laju, bermasalah dan kerap berbunyi (sebagai contoh, nafas berdehit). Walaupun penyakit ini selalunya ringan untuk kebanyakan bayi sihat dan anak kecil, ia merupakan punca utama penyakit klinikal dan beban kesihatan kewangan seluruh dunia. Hospitalisasi sudah meningkat di negara berpendapatan tinggi, terdapat penggunaan penjagaan kesihatan yang besar dan bronchiolitis mungkin berkaitan dengan gangguan nafas berdehit pra-sekolah serta kanak-kanak kemudiannya mendapat asma.
Terdapat pelbagai variasi bagaimana doktor merawat bronchiolitis, menunjukkan ketiadaan bukti saintifik yang jelas untuk sebarang pendekatan rawatan. Ubat-ubatan anti keradangan (sebagai contoh, prenidsolone atau dexamethasone) telah digunakan berdasarkan persamaan yang jelas antara bronchiolitis dan asma. Akan tetapi, tiada manfaat yang jelas atas kegunaan mereka.
Ulasan sistematik ini menjumpai 17 kajian terkawal yang melibatkan 2596 kanak-kanak terjejas yang menggunakan ubat-ubatan ini untuk jangka masa pendek dan menilai hasil jangka pendek. Apabila membanding glukokortikoid dengan plasebo, tiada perbezaan didapati untuk kemasukan hospital atau selama mana tinggal di hospital. Tidak terdapat manfaat ketara dalam hasil kesihatan lain. Penemuan ini adalah konsisten dan mungkin terpakai dalam pelbagai persekitaran.
Keputusan penerokaan dari satu kajian besar berkualiti tinggi mencadangkan bahawa rawatan gabungan glukokortikoid sistemik (dexamethasone) dan bronkodilator (epinephrine) mungkin mengurangkan secara signifikan kemasukan hospital. Tidak terdapat kesan sampingan buruk yang relevan dan jangka pendek yang berbeza dengan kesan sampingan yang dilihat dengan plasebo tidak aktif, sementara itu, keselamatan jangka panjang tidak dinilai. Penyelidikan lebih lanjut diperlukan untuk menentukan keberkesanan, keselamatan dan aplikasi pendekatan yang berpotensi ini.
Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my