Soalan ulasan
Kami mengkaji bukti mengenai kesan toksin botulinum jenis A (BtA) pada orang dengan penutupan kelopak mata yang tidak disengajakan, atau blepharospasm. Ini adalah kemaskini Ulasan Cochrane yang sebelumnya dan kami menilai keberkesanan dan keselamatan BtA berbanding plasebo (ubat palsu) pada blepharospasm.
Latar belakang
Blepharospasm adalah ketidakfungsian kelopak mata iaitu penutupan luarkawal kelopak mata yang berlaku kerana kontraksi otot mata. Toksin botulinum jenis A (BtA) adalah bahan kimia semula jadi yang kuat yang boleh menyebabkan kelumpuhan teruk (ketidakupayaan untuk bergerak pada bahagian badan di mana ia disuntik) dalam haiwan dan manusia. Ia juga dapat digunakan untuk mengubati banyak keadaan, terutama yang mengalami kontraksi otot yang tidak disengajakan, seperti blepharospasm. Toksin botulinum diberikan melalui suntikan ke dalam otot yang mengecut untuk menghasilkan kebanyakan gangguan terhadap gejala-gejala tersebut. Terdapat pelbagai jenis toksin botulinum, tidak semuanya tersedia untuk merawat masalah kesihatan. BtA biasanya dianggap sebagai pilihan pertama rawatan bagi pengidap blepharospasm.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari ulasan perubatan pada bulan Julai 2020 dan menjumpai tiga kajian yang membandingkan rawatan dengan BtA dengan plasebo (suntikan dengan cecair yang tidak akan mengatasi masalah tersebut). Kajian-kajian ini merangkumi sejumlah 313 peserta, secara purata, mengalami gangguan sederhana. Sebilangan besar (66%) orang dalam kajian-kajian tersebut adalah wanita. Kesemua kajian dibiayai oleh pengilang ubat dengan kemungkinan berkepentingan dalam keputusan kajian-kajian tersebut.
Keputusan utama
Hasilnya menunjukkan bahawa satu sesi rawatan (di mana kedua kelopak mata disuntik dengan BtA beberapa kali) meningkatkan keparahan gejala blepharospasm, kecacatan, dan jumlah pergerakan yang tidak disengajakan. Kami tidak menemui peningkatan risiko kejadian tidak menyenangkan atau tidak diingini, walaupun terdapat risiko pengaduan penglihatan yang lebih besar dan kelopak mata terkulai pada orang yang mengambil BtA. Peserta merasakan bahawa BtA lebih baik daripada plasebo. Kesan BtA berlangsung selama sekitar 10 minggu. Tidak ada kajian yang mengkaji kesan BtA terhadap kualiti hidup.
Kepastian tentang bukti
Kepastian dalam bukti berbeza dari rendah ke tinggi. Kami tidak boleh membuat kesimpulan mengenai kesan jangka panjang BtA untuk keadaan ini.
Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my