Apakah tujuan ulasan ini?
Kami ingin mengetahui:
1. kejayaan dan keselamatan pintasan akueus untuk menurunkan tekanan mata berbanding dengan pembedahan standard (trabeculectomy);
2. kejayaan dan keselamatan pelbagai jenis pintasan akueus berbanding satu sama lain; dan
3. kejayaan dan keselamatan pintasan akueus apabila prosedur diubahsuai.
Carian kami untuk kajian yang relevan mengenal pasti 27 kajian.
Mesej utama
Adalah tidak pasti jika pintasan akueus adalah lebih berkesan atau lebih selamat daripada pembedahan standard (trabeculectomy) untuk glaukoma (bukti kepastian sangat rendah). Pintasan akueus Baerveldt dan Molteno mungkin mengurangkan tekanan mata lebih daripada pintasan Ahmed (bukti kepastian sederhana dan rendah).
Apa yang kami kaji dalam ulasan ini?
Glaukoma adalah keadaan yang disebabkan oleh pengumpulan cecair di bahagian depan mata. Pengumpulan cecair ini meningkatkan tekanan mata, yang boleh membawa kepada kerosakan saraf optik dan kehilangan penglihatan. Sesetengah orang dengan glaukoma memerlukan pembedahan untuk mengurangkan tekanan mata. Pembedahan standard dipanggil trabeculectomy. Dalam trabeculectomy, satu lubang kecil dibuat pada tisu di hadapan mata untuk mewujudkan satu laluan untuk cecair. Sebagai alternatif, implan kecil dipanggil pintasan akueus boleh dimasukkan ke dalam mata untuk mewujudkan laluan untuk cecair mengalir.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami mendapati 27 kajian. Empat kajian membandingkan pintasan akueus (sama ada Ahmed atau Baerveldt) dengan pembedahan standard (trabeculectomy). Lima kajian berbanding dua jenis pintasam (Ahmed berbanding Baerveldt, Ahmed berbanding Molteno, Molteno berbanding Schocket). Lapan belas kajian membandingkan pengubahsuaian kepada pintasan akueus.
Keputusan ulasan ini adalah seperti berikut.
1. Bukti yang membandingkan pintasan akueus dengan trabeculectomy kepastiannya sangat rendah. 2. Terdapat beberapa perbezaan di antara implan: Implan Baerveldt dan Molteno adalah lebih baik daripada implan Ahmed; tekanan mata telah dikurangkan dengan lebih banyak dan hanya sedikit ubat antiglaukoma diperlukan (bukti kepastian sederhana dan rendah). Implan Molteno lebih baik daripada Schocket (bukti kepastian rendah untuk tekanan mata sahaja).
3. Walaupun 18 kajian melihat pengubahsuaian kepada pintasan akueus, banyak pengubahsuaian yang berbeza telah dikaji, dan bukti itu tidak muktamad.
Adakah ulasan ini terkini?
Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga hingga 15 Ogos 2016.
Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my