Pemasukan stent profilaksis rutin mengurangkan kejadian perumitan urologi utama dalam kalangan penerima pemindahan buah ginjal

Mesej utama

- Kejadian komplikasi urologi utama dikurangkan dengan pemasukan stent semasa pembedahan pemindahan buah ginjal.

- Pemasukan stent mengurangkan risiko komplikasi urologi utama walaupun stent hanya ditinggalkan di tempatnya untuk jangka masa yang singkat selepas pemindahan (≤ 14 hari).

- Keberkesanan rawatan stent terhadap jangkitan saluran kencing adalah tidak pasti. Walau bagaimanapun, apabila stent hanya ditinggalkan untuk tempoh yang singkat, atau apabila rawatan antibiotik pencegah digunakan, rawatan stent tidak meningkatkan jangkitan saluran kencing.

Apakah itu kegagalan buah pinggang, dan bagaimanakah ianya harus dirawat?

Kegagalan buah pinggang berlaku apabila buah pinggang tidak lagi berfungsi dengan berkesan untuk memastikan kemandirian hidup. Pemindahan buah pinggang merupakan rawatan terpilih untuk penyakit kegagalan buah pinggang, dan dapat meningkatkan kualiti hidup serta memanjangkan jangka hayat penerima. Intervensi yang bertujuan untuk mengurangkan beban komplikasi selepas pemindahan adalah bidang penyelidikan utama dalam komuniti pemindahan.

Ureter (tiub saluran air kencing) daripada buah pinggang yang didermakan perlu disambungkan ke pundi kencing si penerima semasa pembedahan. Kerumitan urologi utama (misalnya kebocoran dan penyumbatan saluran air kencing) boleh terjadi selepas pemindahan ginjal. Ini terjadi di kawasan penyambungan ini.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin menentukan faedah dan bahaya stenting rutin (menambahkan tiub plastik sementara untuk kawasan sambungan ini) dalam kalangan penerima buah ginjal dari segi pencegahan kerumitan urologi parah.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari semua kajian yang menaksir faedah dan bahaya yang penerima pemindahan ginjal yang diagih secara rawak untuk menerima stent semasa pembedahan atau tidak. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap maklumat tersebut berdasarkan perkaedahan dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami memasukkan 12 kajian yang melibatkan 1960 penerima pemindahan. Bilangan komplikasi urologi utama dikurangkan apabila stent digunakan. - Pemasukan stent dapat mengurangkan risiko komplikasi urologi utama walaupun stent hanya ditinggalkan di dalam kawasan sambungan untuk tempoh yang singkat selepas pemindahan ginjal (≤ 14 hari).

- Keberkesanan rawatan stent terhadap jangkitan saluran kencing adalah tidak pasti. Walau bagaimanapun, apabila stent hanya ditinggalkan untuk tempoh yang singkat, atau apabila rawatan antibiotik pencegah digunakan, rawatan stent tidak meningkatkan jangkitan saluran kencing. Kehadiran stent nampaknya tidak meningkatkan perdarahan dalam air kencing. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menyiasat penggunaan stenting profilaksis secara selektif berbanding universal untuk isu kualiti hidup dan kos yang tidak dapat diselesaikan.

Apakah batasan bukti?

Kami cukup yakin bahawa pemasukan stent semasa pemindahan buah pinggang mengurangkan bilangan komplikasi urologi parah. Kami kurang pasti dengan keputusan untuk bilangan jangkitan saluran kencing, kesan ke atas pesakit dan kelangsungan hidup buah pinggang, peningkatan perdarahan dalam air kencing, kualiti hidup, dan kos keseluruhan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini hingga Jun 2024.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Tools
Information