Inflasi paru-paru yang berpanjangan untuk resusitasi neonatal

Soalan ulasan

Adakah penggunaan inflasi paru-paru berpanjangan (atau berterusan, > 1 saat) berbanding inflasi standard (≤ 1 saat) memperbaiki survival dan hasil penting lain dalam kalangan bayi baru lahir yang menerima resusitasi semasa lahir?

Latar belakang

Semasa lahir, paru-paru dipenuhi cecair yang perlu diganti dengan udara supaya bayi boleh bernafas dengan baik. Sesetengah bayi mengalami kesukaran untuk bernafas dengan berkesan semasa lahir dan satu dalam setiap 20 hingga 30 bayi menerima bantuan untuk berbuat demikian. Pelbagai peranti diguna untuk membantu bayi memulakan pernafasan normal. Sesetengah peranti ini membolehkan penjaga memberi inflasi berpanjangan (atau berterusan). Inflasi yang berterusan mungkin membantu inflasi paru-paru dan mengekalkan inflasi paru-paru dengan lebih baik jika tidak digunakan.

Ciri-ciri kajian

Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ulasan dan mendapati 10 kajian yang mendaftar 1467 bayi. Dalam semua kajian, bayi dilahirkan sebelum tarikh bersalin (dari 23 hingga 36 minggu usia gestasi). Inflasi berterusan berlangsung antara 15 dan 20 saat pada tekanan antara 20 dan 30 cmH₂O. Kebanyakan kajian menyediakan tambahan satu atau lebih inflasi berterusan dalam kes-kes respon klinikal yang buruk, misalnya kadar denyut jantung rendah yang berterusan. Kami menganalisis satu kajian (yang hanya melibatkan sembilan bayi) secara berasingan kerana penyelidik menggabungkan penggunaan inflasi berterusan atau standard dengan tekanan dada, sebagai alternatif tambahan yang mungkin membantu bayi mula bernafas normal.

Keputusan utama

Kajian-kajian yang dimasukkan menunjukkan tiada perbezaan penting dalam kalangan bayi yang menerima Inflasi berterusan berbanding inflasi standard dari segi mortaliti, kadar intubasi dalam tempoh tiga hari pertama kehidupan, atau penyakit paru-paru kronik. Bayi yang menerima inflasi berterusan semasa lahir mungkin memerlukan kurang tempoh ventilasi mekanikal. Keputusan beberapa kajian yang sedang berlangsung mungkin membantu untuk menentukan sama ada inflasi berterusan adalah bermanfaat atau berbahaya. Buat masa ini kami tidak boleh mengecualikan perbezaan kecil hingga sederhana di antara kedua-dua rawatan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah hingga sederhana kerana hanya sebilangan kecil kajian-kajian melihat intervensi ini; sebilangan kecil bayi yang disertakan dalam kajian-kajian; dan sesetengah kajian mungkin boleh direka bentuk dengan lebih baik.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga April 2019.

Nota terjemahan: 

Dikemaskini oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Diterjemah oleh Foo Sook lee. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information