Latar belakang
Dislokasi depan bahu akut adalah kecederaan di mana bahagian atas tulang lengan ditolak keluar daripada soket sendi ke arah hadapan. Selepas itu, bahu jadi kurang stabil, dan terdedah kepada dislokasi berulang sama ada separa atau lengkap, terutama pada orang dewasa muda yang aktif. Rawatan awal melibatkan meletakkan semula sendi pada tempatnya. Ini dipanggil 'pengurangan tertutup' apabila dilakukan tanpa pembedahan. Rawatan seterusnya sering dilakukan secara konservatif (bukan pembedahan) dan biasanya melibatkan tempoh imobilisasi lengan yang tercedera dalam anduh atau pendakap, diikuti dengan senaman.
Soalan ulasan
Apakah faedah dan mudarat dari intervensi konservatif yang berbeza untuk merawat pesakit setelah pengurangan tertutup dislokasi primer traumatik depan bahu?
Ini adalah kemaskini ulasan yang telah pertama kali diterbitkan pada 2006 dan kali terakhir dikemas kini pada 2014. Kami mengulas bukti dari kajian klinikal yang membandingkan sebarang intervensi konservatif (contohnya imobilisasi, pemulihan) dengan tanpa rawatan atau intervensi yang berbeza, atau membandingkan varian intervensi yang berbeza (contohnya jangka masa yang berbeza). Hasil utama yang menarik adalah dislokasi berulang, pengukuran laporan pesakit tentang ketidakstabilan bahu (biasanya soal selidik) dan kembali ke aktiviti sebelum kecederaan. Hasil lanjut yang menarik melibatkan kepuasan pesakit dengan intervensi, kualiti hidup berkaitan kesihatan dan peristiwa buruk.
Tarikh carian
Kami melakukan pencarian penulisan penjagaan kesihatan untuk ulasan ini pada Mei 2018.
Ciri-ciri kajian
Kami mengenal pasti tiga kajian baru yang berkaitan untuk kemas kini ini. Secara keseluruhan, ulasan ini kini menyertakan tujuh kajian dengan 704 peserta. Kebanyakan peserta (82%) adalah lelaki; purata usia merentasi kajian adalah 29 tahun (antara 12 hingga 90 tahun). Semua kajian menyelidiki hanya satu perbandingan: immobilisasi pada putaran luaran (ketika lengan berorientasi ke luar dengan tangan menjauhi dada) berbanding immobilisasi pada putaran dalaman (posisi anduh biasa, di mana lengan bersandar ke dada) berikutan pengurangan tertutup. Peserta disusul dalam jangka masa yang berbeza; tempoh yang paling biasa adalah dua tahun atau lebih lama.
Keputusan utama
Kami tidak pasti sama ada immobilisasi pada putaran luaran memberikan perbezaan kepada risiko dislokasi berulang pada satu tahun atau lebih susulan berbanding dengan immobilisasi pada putaran dalaman.
Tiada satu pun daripada empat kajian yang melaporkan mengenai pengukuran dapatan laporan pesakit bagi ketidakstabilan bahu dengan minimum satu tahun susulan yang menemui bukti adanya perbezaan penting antara kedua intervensi tersebut.
Kami tidak pasti tentang kesan relatif dua kaedah imobilisasi terhadap penyambungan semula aktiviti atau sukan sebelum kecederaan. Satu kajian tidak menemui bukti tentang perbezaan antara intervensi dalam kembali ke aktiviti sebelum kecederaan untuk lengan yang terjejas. Dua kajian lain mendapati lebih banyak kembali bersukan dalam kumpulan putaran luaran dalam sekumpulan kecil peserta yang mengalami kecederaan semasa aktiviti sukan.
Tiada kajian yang melaporkan tentang kepuasan peserta atau kualiti hidup berkaitan kesihatan. Kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan antara dua intervensi itu bagi jumlah peserta yang mengalami ketidakstabilan, yang ditakrifkan sama ada sebagai dislokasi berulang atau subluksasi (dislokasi separa).
Pelaporan peristiwa buruk (komplikasi) adalah tidak memuaskan. Terdapat laporan mengenai sembilan kes kekakuan bahu jangka pendek pada kumpulan putaran luar dan dua kes ruam di bawah lengan pada kumpulan fiksasi dalaman. Terdapat tiga kejadian peristiwa buruk yang lebih serius: kepekaan yang tidak normal dan sakit tangan; sensasi tidak normal seperti kesemutan di jari kelingking dan sepanjang siku; dan pembatasan kepada pergerakan utama. Adalah tidak jelas sejauh mana ketiga-tiga peristiwa buruk ini dapat dikaitkan dengan rawatan tersebut.
Kepastian bukti
Kami menilai kepastian bukti sebagai sangat rendah bagi semua hasil. Ini kebanyakannya disebabkan tidak ada cukup data dan kami tidak pasti sejauh mana hasil dari setiap kajian tersebut dapat dipercayai. Jadi kami tidak pasti mengenai anggaran kesan.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, bukti semasa adalah tidak mencukupi untuk memberitahu pilihan imobilisasi pada putaran luaran berbanding dalaman. Tidak ada bukti untuk memberitahu intervensi konservatif lain berikutan pengurangan tertutup dislokasi traumatik depan bahu.
Diterjemahkan oleh Zaleha Abd Aziz (Penterjemah Bebas, Cheras, Selangor). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my