Teh hijau untuk pencegahan kanser

Latar belakang
Terdapat penggunaan tinggi teh hijau di seluruh dunia ( Camellia sinensis), yang mengandungi polifenol dengan aktiviti antioksidan kuat yang dapat mencegah pembentukan radikal bebas yang boleh menyebabkan kerosakan dan kematian sel. Oleh itu, teh hijau telah dicadangkan dapat mengurangkan risiko kanser, satu teori yang diuji di dalam beberapa kajian populasi manusia, yang menilai hubungan penggunaan teh hijau dan kanser.

Matlamat ulasan
Kami menilai hubungan antara penggunaan teh hijau dan risiko mendapat kanser dalam kajian-kajian epidemiologi.

Penemuan utama
Di dalam ulasan ini kami memasukkan 142 kajian dengan lebih 1.1 juta peserta untuk mencari hubungan antara penggunaan teh hijau dan kanser saluran pencernaan dan sistem reproduktif wanita, payudara, prostat, buah pinggang dan saluran kencing, nasofaring, paru-paru, darah, kulit, tiroid dan otak. Majoriti kajian adalah berkualiti sederhana hingga tinggi dari segi perlaksaannya. Secara keseluruhan, bukti dari kajian-kajian menunjukkan penggunaan teh hijau untuk mengurangkan risiko kanser tidak konsisten.

Beberapa kajian menunjukkan kesan bermanfaat terhadap risiko kanser, sementara kajian lain menunjukkan tiada kesan, bahkan ada kajian mencadangan peningkatan risiko kanser. Khususnya, keputusan kajian eksperimental menunjukkan penambahan ekstrak teh hijau menghasilkan penurunan risiko kanser prostat, tetapi peningkatan risiko untuk kanser ginekologi. Untuk kanser kulit bukan melanoma tidak ada perbezaan dalam kes kanser yang muncul. Penambahan teh hijau dilihat sedikit meningkatkan kualiti hidup berbanding plasebo, walaupun dikaitkan dengan beberapa kesan buruk termasuk gangguan gastrousus, paras enzim hati yang lebih tinggi, dan, lebih jarang, insomnia, tekanan darah tinggi dan reaksi kulit.

Di dalam kajian bukan eksperimental, membandingkan orang yang mengguna teh hijau paling tinggi dengan kategori penggunaan paling rendah, kami mendapati kurang kes baharu untuk semua jenis kanser secara keseluruhan, dan tiada perbezaan untuk kes maut. Walau bagaimanapun, hasil mengikut jenis kanser dan reka bentuk kajian adalah tidak konsisten.

Apakah kesimpulannya?
Kesan bermanfaat penggunaan teh hijau terhadap pencegahan kanser masih belum terbukti. Adalah dinasihatkan untuk berhati-hati tentang penambahan dos tinggi ekstrak teh hijau kerana kemungkinan kesan buruk.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information