Mesej utama
– Dalam orang dan kawasan badan tertentu terapi oksigen hiperbarik (HBOT) boleh membantu menyelesaikan simptom yang berkaitan dengan kecederaan lewat radiasi tisu (LRTI) tetapi penyelidikan lanjut diperlukan untuk menentukan orang yang boleh bertindak balas dan masa terbaik untuk terapi sedemikian.
Apakah masalah selepas rawatan radiasi dan bagaimana ia boleh dirawat?
Terdapat risiko komplikasi serius terjadi dalam beberapa bulan dan tahun selepas rawatan radiasi (radioterapi) untuk kanser. Masalah ini secara kolektif dipanggil LRTI dan disebabkan oleh kerosakan progresif pada tisu normal (sel dalam badan) yang telah terdedah kepada radiasi. Masalah-masalah ini boleh jadi sangat sukar untuk ditangani, dan terdapat beberapa keraguan tentang pendekatan terbaik untuk rawatan. HBOT melibatkan pernafasan oksigen dalam ruang bertekanan yang direka khas. Ia digunakan untuk meningkatkan bekalan oksigen kepada tisu yang rosak dan menyokong penyembuhan.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada HBOT menyebabkan kedua-dua penyembuhan tisu dan pencegahan komplikasi selepas pembedahan dalam medan yang disinari dan radioterapi untuk kanser.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian klinikal yang melaporkan bukti menyokong atau menentang keupayaan HBOT untuk memperbaiki komplikasi ini berbanding sama ada tiada rawatan atau rawatan alternatif.
Apakah penemuan utama?
Terdapat beberapa bukti bahawa HBOT boleh memperbaiki hasil dalam LRTI yang menjejaskan kedua-dua tulang dan tisu lembut kepala dan leher, pundi kencing dan bahagian bawah usus. Terdapat juga beberapa bukti bahawa HBOT boleh mengurangkan kerosakan luka dan memperbaiki kesakitan selepas LRTI. HBOT tidak menjejaskan risiko kematian dalam masa yang singkat di mana kajian-kajian ini mengikuti pesakit mereka. HBOT secara amnya selamat dan diterima dengan baik, tetapi terdapat risiko menjadi rabun buat sementara waktu akibat pendedahan oksigen dan kecederaan pada gegendang telinga semasa mampatan.
Apakah batasan bukti?
Bukti terutamanya dibataskan oleh bilangan orang dan kajian yang sedikit, pelaporan kaedah dan keputusan yang lemah, dan ketidakpastian tentang tahap peningkatan yang tepat dengan HBOT. Kajian terhadap kos juga adalah berguna.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Januari 2022.
Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my