Kecederaan adalah penyebab utama kematian di kalangan kanak-kanak di negara-negara perindustrian. Individu yang tinggal di dalam kawasan yang dalam keadaan kurang memuaskan mempunyai risiko kecederaan yang lebih tinggi berbanding mereka dari kawasan dalam keadaan yang lebih memuaskan. Ulasan ini mengkaji keberkesanan pendidikan keselamatan dan penyediaan peralatan keselamatan dalam mengurangkan kecederaan di rumah dan juga meningkatkan penggunaan alat-alatan keselamatan di samping meningkatkan langkah berjaga-jaga terhadap keselamatan. Ulasan ini juga mengkaji kebekersanan pendidikan keselamatan rumah di kalangan keluarga dalam keadaan yang kurang memuaskan. Penulis ulasan ini telah menemui 98 kajian yang meliputi 2,605,044 peserta, di mana pelbagai tingkah laku berkaitan keselamatan telah dilaporkan tetapi hanya sejumlah kecil sahaja yang mempunyai maklumat berkaitan kecederaan.
Penulis mendapati bahawa intervensi keselamatan di rumah mungkin mampu untuk menurunkan kadar kecederaan, tetapi lebih banyak kajian diperlukan untuk mengesahkan penemuan ini. Hasil kajian adalah berbeza di antara kajian sedia ada, tetapi secara keseluruhannya keluarga yang menerima intervensi keselamatan di rumah mempunyai kebarangkalian untuk mempraktikkan langkah-langkah keselamatan seperti tetapan suhu air panas yang selamat, penggera keselamatan yang berfungsi, pelan kebakaran, pagar keselamatan di tangga, penutup soket yang tidak digunakan, sirap ipecac, capaian nombor pusat kawalan racun, dan juga menyimpan ubat-ubatan serta produk pencuci jauh dari kanak-kanak. Penulis mendapati bahawa pendidikan keselamatan di rumah adalah sama berkesan dengan keluarga yang mempunyai kanak-kanak berisiko tinggi untuk kecederaan.
Diterjemahkan oleh Dr Mohd Syis Bin Zulkipli (Universiti Malaya, Malaysia).Disunting oleh Dr Moy Foong Ming (Universiti Malaya,Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi msyizz@yahoo.com.