Perencat aritmia untuk mengekalkan rentak sinus (degupan jantung normal) selepas membalikkan fibrilasi atrial (membetulkan degupan jantung tidak teratur)

Ulasan soalan

Kami mengkaji bukti tentang kesan ubat-ubatan perencat aritmia pada mortaliti (kematian), strok, kesan sampingan yang menyebabkan orang berhenti mengambil ubat dan pengulangan degupan jantung tidak teratur, pada orang yang telah pulih rentak jantung biasa selepas fibrilasi atrial (sejenis degupan jantung yang tidak teratur).

Latar belakang

Fibrilasi atrial adalah penyakit di mana rentak jantung tidak teratur (dipanggil aritmia) dan sering, tetapi tidak selalu, terlalu cepat. Fibrilasi atrial dapat menghasilkan komplikasi, baik di jantung (kegagalan jantung, pengsan) atau di organ lain dengan menyebabkan embolisme. Embolisme adalah pembekuan darah yang membentuk rongga jantung yang kemudiannya dapat pergi ke tempat lain, misalnya otak.

Fibrilasi atrium boleh dikembalikan, memulihkan rentak jantung biasa, dengan menggunakan ubat-ubatan atau kejutan elektrik terkawal. Walau bagaimanapun, masalah utama ialah fibrilasi atrial sering berulang. Pelbagai ubat telah digunakan untuk mengelakkan pengulangan dan mengekalkan rentak jantung biasa.

Ciri-ciri kajian

Ini adalah kemas kini ulasan yang diterbitkan sebelum ini pada tahun 2006, 2012 dan 2015, dan termasuk hasil carian untuk kajian baru pada bulan Januari 2019. Kami mendapati 59 kajian menguji pelbagai ubat-ubatan perencat aritmia dan melibatkan 20,981 peserta. Umur purata peserta adalah 65 tahun. Penyakit yang paling kerap adalah hipertensi (tekanan darah tinggi) dan penyakit arteri dan injap jantung. Kami mendapati kajian untuk sembilan ubat: quinidine, disopyramide, propafenone, flecainide, metoprolol, amiodarone, dofetilide, dronedarone dan sotalol.

Keputusan utama dan kepastian bukti

Kepastian bukti yang tinggi dari lima kajian mendapati bahawa kematian dari sebarang sebab adalah dua kali lebih tinggi pada orang yang mengambil sotalol berbanding dengan orang yang mengambil plasebo atau tanpa rawatan. Kami mengira bahawa seorang tambahan akan mati untuk setiap 102 orang yang mengambil sotalol selama setahun. Kepastian bukti untuk quinidine adalah rendah, tetapi kesan purata di enam kajian menunjukkan bahawa orang yang mengambil quinidine mungkin mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi berbanding dengan orang yang tidak mengambil rawatan atau plasebo. Walau bagaimanapun, bukti tidak cukup kuat untuk menolak kemungkinan bahawa tidak ada risiko kematian dengan quinidine. Kami mendapati beberapa data mengenai kematian untuk disopyramide, flecainide dan propafenone, yang bermaksud bahawa kami tidak pasti tentang kesan ubat-ubatan ini terhadap kematian. Kami tidak menemui bukti jelas bahawa ubat-ubatan lain yang kami pelajari mempunyai kesan terhadap risiko kematian.

Kami mendapati bahawa orang yang mengambil mana-mana ubat-ubatan ini lebih cenderung untuk berhenti mengambilnya akibat kesan sampingan, berbanding dengan orang yang tidak mengambilnya. Kami kurang pasti tentang keputusan untuk disopyramide, amiodarone, dofetilide dan flecainide kerana bukti kepastian yang rendah kebanyakannya berasal dari kajian kecil dengan batasan reka bentuk. Bukti adalah sederhana atau tinggi untuk ubat-ubatan yang lain.

Satu kesan sampingan ubat-ubatan perencat aritmia adalah proarrhythmia, yang bermaksud bahawa orang mempunyai masalah baru atau lebih kerap dengan degupan jantung yang tidak teratur. Kami mendapati bukti kepastian yang tinggi bahawa orang yang mengambil quinidine atau metoprolol mempunyai risiko proarrhythmia yang lebih tinggi daripada orang yang tidak mengambil rawatan atau plasebo. Bukti kepastian yang sederhana menunjukkan peningkatan risiko yang sama untuk flecainide, amiodarone, dofetilide, dronedarone dan sotalol. Bukti kepastian dari kajian ini adalah sederhana kerana masalah dengan batasan kajian, saiz yang lebih kecil atau keputusan tidak tepat. Kami tidak pasti tentang kesan propafenone pada proarrhythmia kerana kami hanya mempunyai bukti kepastian yang sangat rendah untuk ubat ini. Tiada kajian disopyramide melaporkan berapa ramai orang yang mempunyai proarrhythmia.

Kami mendapati bukti kepastian yang tinggi bahawa dronedarone boleh mengurangkan risiko strok. Tiada bukti kesan sotalol (bukti kepastian sederhana); amiodarone, flecainide, quinidine (semua bukti kepastian rendah) atau disopyramide (bukti kepastian yang sangat rendah) mengenai risiko strok. Tiada kajian melaporkan risiko strok dengan propafenone, metoprolol atau dofetilide.

Bukti kepastian yang sederhana hingga tinggi, kecuali disopyramide yang kepastian yang rendah, menunjukkan bahawa semua ubat-ubatan yang kami dinilai mengurangkan pengulangan fibrilasi atrial, berbanding dengan tidak mengambil sebarang rawatan atau mengambil plasebo. Walau bagaimanapun, fibrilasi atrial masih berulang pada kira-kira separuh daripada peserta (43% hingga 67%) yang dirawat dengan perencat aritmia.

Secara keseluruhan, tidak jelas sama ada rawatan jangka panjang dengan ubat-ubatan perencat aritmia membawa faedah yang melebihi risiko mereka untuk kumpulan orang ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information