Soalan ulasan
Adakah embolisasi arteri rahim rawatan alternatif yang selamat dan berkesan dalam kalangan wanita dengan fibroid simptomatik?
Latar belakang
Fibroid rahim (tumor benigna) boleh mengakibatkan pelbagai gejala seperti perdarahan haid banyak, sakit, dan kurang cenderung untuk hamil. Pembedahan (histerektomi atau miomektomi) secara tradisional telah menjadi pilihan rawatan utama tetapi ia berisiko komplikasi. Embolisasi arteri rahim (UAE) adalah pilihan rawatan baharu yang menyekat bekalan darah ke rahim dan dengan itu mengecutkan fibroid dan mengurangkan kesannya. Bukti adalah terkini sehingga April 2014.
Ciri-ciri kajian
Terdapat tujuh kajian yang disertakan dalam ulasan (793 peserta). Tiga daripadanya membandingkan UAE dengan histerektomi, dua kajian membandingkan UAE dengan miomektomi, dan dua lagi membandingkan UAE dengan histerektomi atau miomektomi. Kajian-kajian ini berbeza dalam hasil dan tempoh susulan mereka.
Keputusan utama
Berkait dengan kadar kepuasan pesakit, penemuan kami konsisten dengan kadar kepuasan sehingga 41% lebih rendah atau sehingga 48% lebih tinggi bagi UAE berbanding pembedahan dalam tempoh 24 bulan selepas menjalani prosedur. Penemuan berkenaan kadar kepuasan juga tidak konklusif lima tahun susulan.
Terdapat bukti berkualiti sangat rendah yang mencadangkan hasil kesuburan (kelahiran hidup dan kehamilan) mungkin lebih baik selepas miomektomi berbanding selepas UAE, namun bukti ini adalah berdasarkan subkumpulan kecil terpilih dan harus diambil kira dengan sangat berhati-hati. Kumpulan UAE mempunyai tempoh inap hospital lebih rendah dan kembali kepada aktiviti harian lebih pantas. Berkait dengan keselamatan, bukti terhadap komplikasi utama tidak konklusif dan konsisten dengan manfaat atau mudarat, atau tiada perbezaan antara kedua-dua intervensi. Walau bagaimanapun, risiko komplikasi kecil lebih tinggi selepas UAE. Tambahan juga, tedapat lebih tinggi kecenderungan untuk keperluan intervensi surgikal selepas UAE, pada tempoh dua tahun atau lima tahun susulan. Jika dianggap 7% wanita akan memerlukan pembedahan lanjut dalam dua tahun setelah histerektomi atau miomektomi, antara 15% dan 32% akan memerlukan pembedahan lanjut dalam dua tahun setelah UAE. Oleh itu, walaupun UAE dilihat pilihan yang selamat dengan pemulihan awal lebih pantas, ia lebih berisiko untuk komplikasi kecil dan perlukan pembedahan lanjut di kemudian hari.
Kualiti bukti:
Kualiti bukti adalah berbeza-beza daripada sangat rendah untuk kelahiran hidup kepada sederhana untuk penilaian kadar kepuasan dan kebanyakan hasil keselamatan. Batasan utama bukti adalah ketidaktepatan yang serius, kegagalan melaporkan kaedah dengan jelas, dan kekurangan pembutaan bagi hasil subjektif.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Muhammad Ibrahim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).