Soalan ulasan: Adakah pelan tindakan dengan pendidikan ringkas untuk membantu pesakit mengenal dan respon kepada gejala-gejala COPD yang semakin teruk berkesan?

Kami mengulas bukti tentang kesan pelan tindakan untuk eksaserbasi dalam kalangan orang yang mengalami penyakit kronik obstruktif paru-paru. Kami mendapati tujuh kajian yang berkaitan. Bukti-bukti yang dikumpul adalah terkini sehingga November 2015.

Latar belakang

Penyakit kronik obstruktif paru-paru (COPD) adalah penyakit saluran pernafasan yang lazim disebabkan oleh merokok. Orang dengan COPD sering mengalami gejala yang semakin teruk, yang dikenali sebagai "eksaserbasi", yang mana mereka perlu rawatan tambahan dan kadang-kadang tinggal di hospital. Satu pelan tindakan adalah panduan bertulis atau lisan yang diberi kepada orang dengan COPD dengan pendidikan ringkas untuk membantu mereka mengenal gejala eksaserbasi COPD dan memulakan rawatan tambahan lebih awal. Individu mungkin menyimpan ubat tambahan di rumah atau menerima preskripsi untuk dibawa kepada ahli farmasi. Kadang-kadang profesional kesihatan akan membuat panggilan telefon biasa untuk membantu pesakit menggunakan pelan tindakan tersebut. Kami menjalankan ulasan ini untuk mengetahui sama ada pelan tindakan untuk eksaserbasi COPD boleh meningkatkan tahap kesihatan dan mengurangkan lawatan hospital.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati tujuh kajian yang berkaitan dengan 1550 orang dengan COPD. Kami tidak memasukkan kajian yang memberi rawatan lain, seperti program senaman atau sesi pendidikan yang lebih lama, bersama dengan pelan tindakan. Orang-orang dalam tiga kajian mempunyai sokongan berterusan untuk membantu mereka menggunakan pelan tindakan. Orang-orang dalam kajian-kajian yang dimasukkan mempunyai gejala-gejala COPD yang sederhana hingga teruk dan disusuli untuk enam atau 12 bulan.

Keputusan utama

Orang dengan COPD yang diberi pelan tindakan menunjukkan kurang kekerapan lawatan ke jabatan kecemasan dan tinggal di hospital akibat masalah berkaitan pernafasan selama lebih dari setahun. Kami mengira bahawa bagi setiap 19 orang yang diberi pelan tindakan, seorang dapat mengelakkan tinggal di hospital untuk eksaserbasi.

Orang yang mempunyai pelan tindakan mengambil lebih ubat kortikosteroid dan antibiotik untuk eksaserbasi - secara purata satu lagi dos kortikosteroid dan dua lagi dos antibiotik dalam setahun.

Sesetengah kajian menunjukkan pemberian pelan tindakan meningkatkan keupayaan mereka untuk mengenal dan memulakan sendiri rawatan gejala COPD yang semakin teruk.

Memberi pelan tindakan tidak menunjukkan perbezaan dalam kebarangkalian kematian akibat sebarang sebab selama setahun, tetapi penemuan ini menunjukkan beberapa keberubahan.

Kami tidak dapat mengatakan sama ada panggilan telefon susulan menambah faedah berbanding mematuhi pelan tindakan sahaja.

Kualiti bukti

Bukti dalam ulasan ini secara amnya adalah tak bersandar dan boleh dipercayai, dan kami sangat atau sederhana pasti mengenai keputusannya.

Kesimpulan

Kami percaya orang dengan COPD perlu diberi pelan tindakan individu beserta komponen pendidikan ringkas supaya mendapat manfaat kurang kerap tinggal di hospital dan tempoh tinggal di hospital lebih pendek, lebih faham keperluan memulakan sendiri rawatan dan penggunaan ubat-ubatan yang sesuai untuk eksaserbasi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Raymond Chieng Siang Ching (Hospital Sibu). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com.

Tools
Information