Adalimumab untuk artritis reumatoid.

Bagaimana adalimumab berfungsi untuk merawat artritis reumatoid dan adakah ia selamat?
Untuk menjawab soalan ini, para saintis telah menganalisis enam kajian yang berkualiti tinggi. Kajian-kajian tersebut menguji 2300 orang dengan artritis reumatoid untuk lebih 10 tahun. Mereka sama ada telah mengambil suntikan adalimumab atau suntikan palsu. Beberapa kajian juga menguji mereka yang mengambil kombinasi methotrexate bersama adalimumab ataupun suntikan palsu. Ulasan Cochrane ini menyediakan bukti terbaik pada masa ini.

Apakah artritis reumatoid dan bagamanakah adalimumab boleh membantu?
Artritis reumatoid adalah satu penyakit yang mana sistem imun badan menyerang tisu badan yang sihat. Serangan kebanyakan berlaku pada sendi-sendi tangan dan kaki yang menyebabkan kemerahan, sakit, bengkak dan panas di sekitar sendi-sendi tersebut Adalimumab merupakan satu 'agen biologi' yang disuntik ke dalam badan untuk mengurangkan sakit dan bengkak serta melambatkan progressi artritis reumatoid. Adalimumab adalah satu ubat baharu yang telah diluluskan untuk suntikan pada dos 40 miligram setiap 2 minggu. Ia sering dipreskrib apabila ubat antireumatik pengubah suai penyakit (DMARD) tidak berkesan.

Sejauh mana adalimumab berkesan?
Lebih ramai orang bertambah baik dengan semua dos adalimumab bersama methotrexate berbanding suntikan palsu bersama methotrexate. Selepas 24 minggu:
-43 daripada 100 orang menunjukkan 50% pembaikan dengan 40 mg adalimumab bersama methotrexate setiap dua minggu
-9 daripada 100 orang menunjukkan 50% pembaikan dengan suntikan palsu bersama methotrexate
Ini bermakna 34 daripada 100 orang telah mendapat manfaat daripada pengambilan adalimumab bersama methotrexate daripada suntikan palsu bersama methotrexate.Lebih ramai orang bertambah baik gejalanya dengan adalimumab sahaja berbanding dengan suntikan palsu, tetapi pembaikan tersebut tidaklah sebaik apabila pengambilan kombinasi adalimumab dan methotrexate.
Selepas 52 minggu, keputusan x-ray menunjukkan 20 mg adalimumab setiap minggu atau 40 mg adalimumab setiap dua minggu lebih memperlahankan kerosakan sendi berbanding suntikan palsu.

Adakah sebarang kesan sampingan?
Kesan-kesan sampingan kecil termasuklah reaksi di mana jarum disuntik, sakit kepala, gejala-gejala seperti alergi dan selsema. Sesetengah orang pergi ke hospital kerana kesan sampingan yang teruk. Kebanyakan kesan sampingan berlaku lebih kurang sama bagi orang-orang yang mengambil adalimumab dan orang-orang yang mengambil suntikan palsu.
-5 daripada 100 orang mempunyai kesan sampingan yang teruk dengan 40 mg adalimumab bersama methotrexate
-7 daripada 100 orang mempunyai kesan sampingan yang teruk dengan suntikan palsu bersama methotrexate
Ini bermakna 2 orang lagi daripada 100 mempunyai kesan sampingan yang teruk apabila menerima suntikan palsu bersama methotrexate berbanding adalimumab bersama methotrexate.
Satu kajian menunjukkan orang yang menerima adalimumab mempunyai jangkitan yang lebih teruk seperti tuberkulosis dan kanser berbanding orang yang mengambil suntikan palsu. Kesan-kesan sampingan jangka panjang masih perlu dikaji.

Apakah kesimpulannya?
Terdapat bukti tahap "Emas" (www.cochranemsk.org) untuk orang yang lama menghidap artritis reumatoid yang tidak respon kepada DMARD, adalimumab 40 mg selang seminggu bersama methotrexate mengurangkan sakit dan bengkak.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Radin Fadzil Radin Monawir (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi fadzil.monawir@gmail.com

Tools
Information