Latar belakang
Tromboembolisme vena (VTE) adalah keadaan di mana orang mengalami klot darah dalam vena mereka. Ia termasuk trombosis vena dalam (DVT) dan embolisme pulmonari (PE) yang berpotensi maut. VTE berlaku di dalam lebih 10% pesakit di hospital dan merupakan punca kematian yang ketiga paling kerap dalam kalangan mereka. Oleh itu, pencegahan yang berkesan diperlukan untuk orang yang berisiko tinggi terhadap VTE. Kaedah pencegahan piawai melibatkan penggunaan antikoagulan, contohnya heparin dengan berat molekul yang rendah (LMWH) atau warfarin, dialam kalangan pesakit ortopedik. Sejak tahun-tahun kebelakangan, satu lagi jenis antikoagulan, pentasakarida, telah menunjukkan kesan antikoagulatif yang baik dalam kajian klinikal. Tiga jenis pentasakarida boleh didapati, iaitu fondaparinux bertindak untuk jangka pendek, idraparinux bertindak untuk jangka masa lama dan idrabiotaparinux.
Keputusan utama
Ulasan sistematik kami memasukkan 25 kajian yang melibatkan 21,004 peserta (terkini sehingga Mac 2016). Kami tidak menemui kajian tentang idraparinux bertindak untuk jangka lama atau idrabiotaparinux untuk pencegahan VTE. Oleh itu, kami hanya memasukkan kajian mengenai fondaparinux bertindak untuk jangka pendek bagi pencegahan VTE.
Bukti berkualiti sederhana hingga tinggi menunjukkan fondaparinux berkesan untuk pencegahan jangka pendek VTE berbanding plasebo. Ia boleh mengurangkan jumlah VTE, DVT, jumlah PE dan VTE si mptomatik dan tidak menunjukkan perbezaan dalam bilangan kematian berbanding plasebo. Bukti berkualiti rendah hingga sederhana menunjukkan fondaparinux berkesan untuk pencegahan jangka pendek VTE berbanding LMWH. Ia boleh mengurangkan jumlah VTE dan jumlah DVT dan tidak menunjukkan perbezaan bilangan kematian berbanding LMWH. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, fondaparinux meningkatkan perdarahan major apabila dibandingkan dengan plasebo dan LMWH. Oleh itu, apabila fondaparinux dipilih untuk pencegahan VTE, perhatian harus diberi kepada risiko perdarahan seseorang. Kebanyakan data diperoleh daripada kajian mengenai pesakit yang menjalani pembedahan ortopedik. Oleh itu, kesimpulan adalah lebih kepada pesakit-pesakit ini. Data tentang fondaparinux untuk keadaan perubatan lain seperti pembedahan dalaman, perubatan dan abdomen adalah jarang.
Kualiti bukti
Kami menurunkan gred kualiti bukti kerana bilangan peristiwa yang kecil menyebabkan ketidaktepatan, dan perbezaan dan ketidaktekalan di antara kajian-kajian. Kami memerlukan tambahan kajian klinikal yang berkualiti tinggi untuk mengesahkan keberkesanan dan keselamatan fondaparinux.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.