Clopidogrel bersama aspirin berbanding aspirin sahaja untuk mencegah peristiwa kardiovaskular

Soalan

Kami mengulas bukti mengenai kesan clopidogrel dan aspirin dalam orang yang berisiko tinggi mendapat penyakit jantung atau mengalami strok, dan dalam mereka yang sudah mengalami penyakit jantung.

Latar belakang

Aspirin diguna secara meluas untuk mencegah penyakit jantung, tetapi kesannya bagi orang yang berisiko tinggi mendapat penyakit jantung adalah kecil. Kami ingin mengetahui sama ada mengambil clopidogrel (yang juga diguna untuk mencegah penyakit jantung) dan aspirin adalah lebih baik untuk mencegah penyakit jantung atau mengalami strok daripada mengambil aspirin sahaja. Kami juga ingin mengetahui sama ada orang yang sudah mempunyai penyakit jantung kurang berisiko untuk mati, mengalami serangan jantung atau strok jika mereka mengambil clopidogrel dan aspirin.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini mengandungi bukti sehingga Julai 2017. Kami mendapati 15 kajian yang memasukkan lebih daripada 30,000 orang yang berisiko tinggi penyakit jantung yang mengambil aspirin. Semua kajian secara rawak meletakkan peserta ke dalam kumpulan intervensi (mengambil aspirin dan clopidogrel) atau kumpulan kawalan (mengambil aspirin dan plasebo (rawatan pura-pura yang tiada kesan). Para eserta mengambil clopidogrel antara enam minggu dan 3.4 tahun, bergantung kepada kajian yang mereka ambil bahagian.

Keputusannya tidak terpakai kepada orang yang baru diletakkan stent koronari (tiub yang dimasukkan ke dalam salur darah untuk memastikan ia terbuka), yang dikecualikan daripada ulasan ini.

Keputusan utama

Keputusan menunjukkan terdapat manfaat menambah clopidogrel kepada aspirin dari segi mengurangkan risiko serangan jantung atau strok. Walau bagaimanapun, terdapat risiko lebih tinggi untuk perdarahan besar dan kecil yang berkait dengannya. Tiada kesan ke atas kematian akibat masalah jantung atau kematian dari sebarang sebab.

Kualiti bukti

Menggunakan kriteria Cochrane, empat kajian mempunyai risiko bias rendah.

Menggunakan piawaian GRADE, kualiti bukti yang diterbitkan adalah sederhana untuk kebanyakan keputusan, tetapi rendah untuk kematian dari sebarang sebab dan sangat rendah untuk kesan sampingan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information