Kreatina untuk sklerosis lateral amiotrofik/penyakit saraf motor

Sklerosis lateral amiotrofik (ALS), juga dikenali sebagai penyakit saraf motor (MND), adalah penyakit neurodegeneratif progresif yang mengakibatkan kelumpuhan meluas dan kehidupan yang lebih pendek. Terkini, asid organik semula jadi yang dipanggil kreatina telah mendapat perhatian sebagai terapi berpotensi untuk ALS/MND. Walau bagaimanapun, kajian manusia setakat ini menunjukkan hasil yang bercampur-campur. Oleh itu, kami mengulas secara sistematik semua bukti kajian klinikal sedia ada sehingga Julai 2012 untuk menentukan jika kreatina bermanfaat atau membahayakan orang dengan ALS/MND. Ulasan ini memasukkan tiga kajian klinikal dengan reka yang baik melibatkan sejumlah 386 peserta yang menerima sama ada kreatina atau plasebo. Secara keseluruhan, kreatina ditoleransi dengan baik tanpa kesan sampingan yang serius. Menggunakan pelbagai kaedah statistik, kami dapati bahawa creatine pada dos 5 hingga 10 g sehari tidak memperbaiki survival ALS atau melambatkan progresi ALS dengan cara yang bermakna. Terdapat petunjuk bahawa kreatina mungkin memburukkan sedikit keupayaan pernafasan, tetapi ini mungkin kebolehubahan statistik yang mengelirukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information