Bolehkah perokok dibantu untuk mengurangkan mudarat yang disebabkan oleh tabiat menghisap rokok dengan cara mengurangkan menghisap rokok atau menggunakan produk tembakau yang berbeza?

Latar belakang

Perkara terbaik yang boleh dilakukan untuk mengurangkan mudarat yang disebabkan oleh merokok adalah dengan berhenti, tetapi sesetengah orang mungkin tidak mahu berbuat sedemikian atau mungkin merasakan yang mereka tidak dapat untuk berhenti merokok sepenuhnya. Mengurangkan jumlah rokok yang dihisap setiap hari atau menggunakan produk tembakau yang berbeza, seperti mengunyah tembakau atau rokok rendah-tar mungkin mengurangkan sesetengah mudarat yang disebabkan oleh merokok. Ia mungkin juga membantu perokok untuk berhenti merokok sepenuhnya dalam jangka masa panjang. Sebaliknya, pengurangan merokok atau penggunaan produk tembakau yang lain mungkin tidak menambah baik kesihatan dan boleh mengurangkan motivasi perokok untuk berhenti merokok sama sekali. Adalah penting bagi kami menyemak bukti untuk mengetahui sama ada pendekatan ini boleh membantu perokok yang tidak mahu atau tidak boleh berhenti untuk mengurangkan mudarat disebabkan oleh tabiat merokok mereka. Kami berminat terutamanya tentang sama ada pendekatan ini menambah baik kesihatan perokok, tetapi juga melihat kepada kadar pengurangan merokok dan kadar berhenti merokok.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 20 kajian rawak terkawal yang menyelidik cara-cara untuk membantu perokok mengurangkan jumlah rokok yang mereka hisap. Sesetengah kajian ini hanya menasihatkan perokok untuk mengurangkan merokok, tetapi kebanyakannya turut memberikan produk untuk membantu mereka mengurangkan merokok; terapi gantian nikotin (NRT), varenicline, bupropion, rokok elektronik, atau snus (sejenis tembakau tanpa asap yang diambil melalui mulut). Kami juga menemui empat kajian rawak terkawal yang menguji kesan menggunakan rokok yang direka untuk mengurangkan mudarat disebabkan oleh merokok: rokok dengan kurang tar, karbon atau nikotin. Kebanyakan kajian menggunakan NRT untuk membantu perokok mengurangkan tabiat merokok mereka. Kesemua kajian melibatkan perokok yang tidak merancang untuk berhenti merokok dalam masa terdekat. Penyelidikan adalah terkini hingga Oktober 2015.

Keputusan utama

Lapan kajian (dengan 3081 perokok) mendapati bahawa menggunakan NRT meningkatkan lebih kurang dua kali ganda kebarangkalian untuk mengurangkan separuh jumlah rokok yang dihisap setiap hari, berbanding dengan menggunakan plasebo. Penggunaan NRT sebegini juga meningkatkan hampir dua kali ganda kebarangkalian untuk berhenti sepenuhnya. Satu kajian masing-masing mengkaji bupropion, varenicline, rokok elektronik dan snus untuk membantu mengurangkan mudarat yang disebabkan oleh merokok, dan tidak terdapat bukti yang mana-mana rawatan ini membantu perokok mengurangkan jumlah rokok yang mereka hisap setiap hari. Ini mungkin disebabkan masih belum ada cukup penyelidikan mengenai kaedah-kaedah ini. Hanya satu kajian yang menguji rokok yang direka untuk mengurangkan risiko mengukur kesannya terhadap bilangan perokok yang berhenti merokok. Ia mendapati bahawa perokok tidak lebih cenderung untuk berhenti merokok sekiranya mereka menggunakan rokok kurang nikotin berbanding dengan sekiranya mereka menghisap rokok biasa mereka. Kami tidak menemui sebarang kajian yang melaporkan kesan jangka panjang rawatan terhadap kesihatan, oleh itu adalah masih tidak pasti berapa besarkah manfaat terhadap kesihatan yang diperolehi dengan mengurangkan jumlah rokok yang dihisap setiap hari atau dengan menghisap rokok yang direka untuk kurang merbahaya.

Kualiti bukti

Industri tembakau membiayai tiga daripada kajian yang melibatkan rokok yang direka untuk mengurangkan risiko. Tiada kajian yang melihat sama ada terdapat perubahan jangka panjang dalam kesihatan pengguna. Kami menilai kualiti bukti yang melihat berapa ramai perokok berhenti merokok sebagai ‘rendah’ atau ‘sangat rendah’, umumnya kerana penemuan ini adalah berdasarkan sebilangan kecil kajian. Kami memerlukan lebih banyak kajian untuk menyelidik kaedah mengurangkan mudarat yang disebabkan oleh merokok berterusan. Kajian ini perlu mengukur kesihatan pengguna buat tempoh yang lama.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information