Tolakan berbanding graviti untuk pemberian makan tiub gavaj bolus berjeda pada bayi yang lahir pramatang dan berat badan rendah

Soalan ulasan

Pada bayi yang lahir pramatang atau rendah berat badan yang diberi makan secara tiub gavaj, adakah pemberian makan secara tiub tolak dibandingkan dengan pemberian makan secara tiub graviti mengakibatkan peningkatan kejadian buruk (ketepuan oksigen rendah, kadar denyutan jantung rendah, waktu hingga penyusuan penuh).

Latar belakang

Bayi yang lahir secara pramatang (sebelum 37 minggu) mungkin tidak dapat menyelaraskan aktiviti menghisap, menelan, dan bernafas, dan memerlukan pemberian makan secara gavaj. Dalam pemberian makan secara gavaj, susu dihantar secara berjeda melalui tiub yang disalurkan melalui hidung atau mulut ke dalam perut. Makanan susu bolus berjeda dapat diberikan dengan menggunakan picagri untuk mendorong susu ke dalam perut bayi secara perlahan (pemakanan tolakan). Sebagai alternatif, susu boleh dituangkan ke dalam picagari yang dilekatkan pada tiub dan dibiarkan menitis secara graviti (pemakanan graviti).

Ciri-ciri kajian

Carian adalah terkini sehingga Julai 2020. Pengulas memasukkan satu kajian (31 bayi) dalam ulasan yang dikemas kini ini.

Keputusan utama

Bukti tidak mencukupi untuk menunjukkan sama ada penggunaan tolakan berbanding dengan pemberian makan secara gavaj graviti menyebabkan pemberian makanan secara gavaj penuh dengan lebih cepat tanpa meningkatkan kejadian buruk pada bayi pramatang atau dengan berat badan rendah, atau kedua-duanya, yang memerlukan pemberian makan secara gavaj bolus berjeda.

Kepastian bukti

Bukti dari kajian secara rawak yang membandingkan tolakan atau graviti bagi pemberian makan secara tiub gavaj berjeda pada bayi yang lahir pramatang atau berat lahir rendah (kurang dari 2500 gram) tidak mencukupi untuk amalan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information