Soalan ulasan: Adakah memberi penambahan iodin kepada bayi pramasa mengurangkan risiko kematian atau memperbaiki perkembangan otak mereka?
Latar belakang: Bayi yang lahir pramasa (awal beberapa minggu) mungkin belum menerima amaun iodin yang disyorkan dalam diet mereka, kerana kedua-dua susu ibu pramasa dan nutrisi yang diberi melalui drip di hospital tidak mengandungi cukup iodin untuk memenuhi keperluan yang semakin tinggi. Kekurangan iodin mungkin mempengaruhi penghasilan hormon tiroid yang penting untuk perkembangan otak dan paru-paru dalam kalangan bayi baru lahir. Memandangkan kebimbangan kekurangan iodin boleh memudaratkan, kami mengulas semua bukti sedia ada dari kajian klinikal yang menilai kesan pemberian iodin tambahan kepada bayi pramasa.
Ciri-ciri kajian: Bukti adalah terkini sehingga Februari 2018. Kami mendapati dua kajian yang relevan (merangkumi 1394 bayi) Kedua-dua kajian menggunakan kaedah yang boleh dipercayai untuk memastikan penemuan-penemuan tidak bias.
Keputusan utama: Analisis data daripada kajian-kajian tersebut menunjukkan penambahan iodin untuk bayi pramasa tidak mempengaruhi peluang kematian atau memperbaiki perkembangan otak jangka-panjang. Bukti sangat boleh dipercayai.
Kesimpulan: Bukti sedia ada menunjukkan penambahan rutin iodin tidak mempunyai manfaat penting untuk bayi pramasa.
Diterjemah oleh Manisha Coran (RCSI-UCD Malaysian Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan tentang terjemahan ini sila hubungi manisha@ms.pmc.edu.my.