Rawatan untuk mencegah tromboembolisme vena pada orang dewasa yang menjalani pembedahan lubang kunci pada lutut

Mesej utama

• Kami tidak menemui bukti jelas bahawa penggunaan ubat pencegah pembekuan darah (heparin berat molekul rendah (LMWH), aspirin atau rivaroxaban) pada orang dewasa yang sihat yang menjalani pembedahan lutut invasif minimum, boleh mengurangkan risiko kecil pembekuan darah berkembang di urat dalam mereka, atau risiko kecil bahawa bekuan darah ini bergerak ke saluran darah di paru-paru mereka.

• Kami tidak menemui sebarang bukti yang jelas bahawa LMWH, aspirin atau rivaroxaban menyebabkan kesan berbahaya seperti pendarahan pada orang ini.

Mengapakah persoalan ini penting?

Dalam artroskopi lutut, pembekal penjagaan kesihatan memasukkan kamera kecil melalui belahan kecil pada lutut seseorang. Artroskopi lutut digunakan untuk mendiagnosis dan membaiki pelbagai jenis kecederaan lutut. Orang yang mengalami prosedur ini mempunyai risiko kecil untuk mengalami bekuan darah di vena dalam kaki mereka (trombosis vena dalam). Mereka yang mendapat trombosis vena dalam mungkin mengalami gejala seperti sakit betis atau bengkak (trombosis vena dalam bergejala). Terdapat juga risiko bahawa bekuan boleh bergerak ke paru-paru (embolisme pulmonari). Orang yang menjalani pembedahan sering menerima ubat untuk mengurangkan risiko terbentuknya bekuan. Ubat-ubatan ini membantu mencegah pembekuan darah melalui pencairan darah, dan ia boleh menyebabkan kesan sampingan seperti pendarahan. Kerana risiko mendapat pembekuan darah selepas artroskopi lutut adalah kecil, adalah penting untuk mengetahui sama ada mengambil ubat untuk mencegah pembekuan adalah perlu.

Apa yang kami buat?

Kajian sistematik ini memasukkan kajian rawak terkawal orang yang menjalani artroskopi lutut dan yang menerima atau tidak menerima ubat pencegah bekuan darah. Kajian rawak memberikan bukti yang paling boleh dipercayai tentang kesan rawatan kerana rawatan yang diterima oleh orang ditentukan secara rawak.

Apa yang kami dapati?

Dalam kajian yang kami masukkan dalam ulasan kami, peserta kawalan (mereka yang tidak menerima ubat) tidak menerima rawatan dalam enam kajian, menerima pil tiruan (plasebo) dalam satu kajian, dan memakai stokin mampatan dalam satu kajian.

Kami menggabungkan maklumat daripada lima kajian, dan ini menunjukkan bahawa LMWH – ubat yang disuntik orang ke dalam kawasan perut mereka setiap hari – tidak secara jelas mengurangkan risiko embolisme pulmonari atau trombosis vena dalam berrgejala berbanding tanpa rawatan. LMWH boleh mengurangkan risiko trombosis vena dalam tanpa gejala bekuan di kaki tanpa gejala, biasanya dikesan melalui ujian), tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya. LMWH tidak mempunyai kesan yang jelas terhadap pendarahan.

Dalam satu kajian, rivaroxaban oral tidak mengurangkan risiko trombosis vena dalam, dan juga tidak meningkatkan pendarahan kecil jika dibandingkan dengan plasebo. Kajian itu melaporkan tiada kes embolisme pulmonari atau pendarahan besar.

Dalam satu kajian yang membandingkan aspirin tanpa rawatan, tiada peserta yang mengalami embolisme pulmonari, trombosis vena dalam atau pendarahan.

Berbanding dengan stokin mampatan, LMWH tidak mengurangkan embolisme pulmonari atau pendarahan, tetapi mengurangkan trombosis vena dalam bergejala.

Sejauh manakah kami yakin dengan bukti ini?

Keyakinan kami terhadap bukti berbeza mengikut rawatan dan hasil rawatan. Kami tidak begitu yakin tentang bukti untuk embolisme pulmonari dan trombosis vena dalam bergejala kerana jumlah kes (bekuan) adalah kecil. Kami tidak yakin dengan bukti mengenai bekuan tanpa gejala kerana peserta menyedari rawatan yang mereka terima, dan mungkin telah mendedahkan maklumat ini – sama ada secara tidak sengaja atau sengaja – kepada kakitangan perubatan yang sedang mencari bekuan tersebut. Di samping itu, bekuan tanpa gejala mungkin kurang penting secara klinikal pada orang yang berisiko rendah untuk bekuan atau yang cepat mendapatkan semula pergerakan selepas artroskopi lutut.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan Cochrane ini mengemas kini ulasan kami yang terdahulu. Bukti ini adalah terkini sehingga 1 Jun 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information