Latar belakang
Klaudikasi berjeda adalah sakit kaki kejang yang berlaku semasa berjalan dan lega dengan tempoh rehat yang singkat. Ia disebabkan oleh kekurangan aliran darah ke otot-otot kaki akibat aterosklerosis (pengerasan arteri). Terapi senaman memberi manfaat simptomatik yang signifikan bagi pesakit klaudikasi berjeda. Pesakit disyorkan untuk berjalan sendiri sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Walau bagaimanapun, mereka juga boleh menyertai program senaman rasmi yang diselia yang melibatkan berjalan kaki di atas ‘treadmill’ atau menyelesaikan program senaman berstruktur di rumah dengan komponen pemerhatian (contohnya, buku log senaman, pedometer).
Ciri-ciri kajian dan keputusan utama
Kami menyertakan 21 kajian di mana sejumlah 1400 peserta dengan klaudikasi berjeda (65% lelaki, purata umur 66 tahun) telah ditugaskan untuk menjalani terapi senaman yang di selia, terapi senaman di rumah, atau nasihat berjalan (carian terakhir pada Disember 2016). Kualiti metodologi keseluruhan kajian yang disertakan adalah sederhana hingga baik. Walau bagaimanapun, beberapa kajian hanya mendaftar bilangan peserta yang kecil. Kajian-kajian berlangsung dari enam minggu hingga dua tahun.
Ulasan ini menunjukkan bahawa para pesakit yang menyertai program senaman yang diselia dapat memperbaiki keupayaan berjalan ke tahap yang lebih tinggi berbanding mereka yang menyelesaikan program senaman di rumah atau hanya mengikuti nasihat berjalan. Selepas tiga bulan, jarak berjalan kaki maksimum para peserta yang mengikuti program senaman yang diselia adalah 120 atau 210 meter lebih jauh daripada jarak berjalan kaki maksimum mereka yang mengikuti program senaman di rumah atau mendapat nasihat berjalan. Untuk meletakkan peningkatan ini dalam konteks, padang bola sepak AS adalah berukuran lebih kurang 90 meter (atau 100 meter) panjang. Sebelum mengambil bahagian dalam program senaman, jarak berjalan kaki maksimum para peserta adalah 290 meter dengan jarak berjalan kaki tanpa sakit selama 140 meter, jadi peningkatan ini mungkin memberi impak positif terhadap kehidupan mereka. Keputusan program senaman di rumah adalah serupa dengan yang dilaporkan untuk nasihat berjalan.
Berbanding terapi senaman di rumah, terapi senaman yang diselia adalah lebih bermanfaat untuk jarak berjalan tanpa sakit tetapi tidak berkesan ke atas kualiti hidup atau pada kecacatan fungsi yang dilapor sendiri. Berbanding dengan nasihat berjalan, terapi senaman yang diselia adalah lebih bermanfaat untuk jarak berjalan kaki tanpa rasa sakit dan kecacatan fungsi yang dilapor sendiri, serta untuk beberapa tahap kualiti hidup (contohnya fungsi fizikal, sakit dan ringkasan komponen fizikal selepas 12 bulan), dan terapi senaman di rumah tidak mempunyai kesan.
Data tidak menunjukkan kesan ketara ke atas kadar kematian. Tiga belas daripada 1400 peserta meninggal dunia, tetapi tiada kematian yang dikaitkan dengan terapi senaman. Secara keseluruhannya, kepatuhan kepada terapi senaman yang diselia adalah kira-kira 80%, seperti yang dilaporkan dengan terapi senaman di rumah. Data pematuhan adalah terhad kepada kumpulan yang dinasihati untuk berjalan.
Kualiti bukti
Bukti yang berkualiti sederhana dan tinggi menunjukkan bahawa terapi senaman yang diawasi meningkatkan jarak berjalan kaki (maksimal dan tanpa kesakitan) pada tahap yang lebih tinggi daripada terapi senaman berasaskan rumah dan nasihat berjalan kaki. Kajian-kajian tidak menunjukkan perbezaan yang jelas dalam ukuran kualiti hidup atau kecacatan fungsi yang dilapor sendiri di antara terapi senaman yang diselia dan terapi senaman di rumah. Walau bagaimanapun, buktinya adalah berkualiti rendah dan sangat rendah. Para penyelidik mengesan beberapa penambahbaikan dalam kualiti hidup yang memihak kepada terapi senaman yang diselia berbanding nasihat berjalan tetapi analisis adalah terhad oleh bilangan kecil kajian dan peserta. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk kualiti hidup yang spesifik kepada penyakit dan hasil fungsi lain, seperti tingkah laku berjalan dan aktiviti fizikal, serta tempoh susulan jangka panjang.
Mematuhi program senaman adalah penting kerana ia membawa kepada kekurangan pada kesakitan kaki dan kualiti hidup yang lebih baik, serta peningkatan pada keadaan fizikal umum.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.