Pendidikan pesakit secara individu untuk penghidap diabetes mellitus jenis 2

Sembilan kajian yang melibatkan 1359 peserta memenuhi kriteria kemasukan. Enam kajian membandingkan pendidikan secara individu dengan penjagaan biasa dan tiga kajian membandingkan pendidikan secara individu dengan pendidikan secara berkumpulan (361 peserta). Tiada kajian jangka panjang dan keseluruhannya, kualiti kajian-kajian ini tidak tinggi. Pendidikan kesihatan secara individu bersemuka untuk penghidap diabetes jenis 2 selama enam hingga dua belas bulan tidak meningkatkan kawalan glisemik, indeks jisim badan (ukuran untuk berat badan berlebihan; berat badan (kilogram) dibahagikan dengan kuasa dua ketinggian badan (meter), kg/m2),tekanan darah atau kadar kolesterol dengan ketara dalam jangka masa pendek atau sederhana berbanding penjagaan biasa. Walaubagaimanapun, manfaat yang ketara pendidikan secara individu terhadap kawalan glisemik dapat diperhatikan dalam analisa subkumpulan kajian-kajian yang melibatkan peserta yang mempunyai paras dasar HbA1c lebih daripada 8% (iaitu, kadar glukosa darah yang sangat tinggi sepanjang beberapa bulan atau ‘kawalan metabolik’ tidak mencukupi). Dalam kajian-kajian yang membandingkan pendidikan individu dengan pendidikan berkumpulan, tiada perbezaan yang ketara antara pendidikan individu atau berkumpulan dari 12 hingga 18 bulan atau perbezaan yang ketara tentang impak pendidikan individu berbanding dengan berkumpulan terhadap indeks jisim badan, tekanan darah sistolik atau diastolik.

Analisis terhadap penjagaan kendiri tentang pemakanan, pengetahuan diabetes, keputusan psikososial dan tabiat merokok tidak dapat dilaksanakan kerana limitasi kajian-kajian yang ada dan penggunaan alat pengukuran yang berbeza. Walaubagaimanapun, penilaian deskriptif mencadangkan bahawa tiada perbezaan ketara terhadap kualiti hidup, kemahiran penjagaan kendiri atau pengetahuan antara pendidikan berkumpulan dan individu. Apabila pendidikan individu dibandingkan dengan penjagaan biasa, limitasi jumlah kajian-kajian yang ada mencadangkan bahawa keputusan terhadap penjagaan kendiri, tabiat merokok dan pengetahuan adalah positif. Walaubagaimanapun, terdapat percanggahan bukti terhadap keputusan psikososial. Tiada data tentang hasil pengukuran utama yang lain untuk komplikasi diabetes atau penggunaan perkhidmatan kesihatan dan analisis kos dalam kajian-kajian ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee E Lyn (International Medical University). Disunting oleh Sharifah Halimah Jaafar (Regency Specialist Hospital Sdn Bhd, JB). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LeeELyn@imu.edu.my.

Tools
Information