Apakah itu katarak?
Katarak bermula apabila tompok-tompok keruh terbentuk pada lensa mata anda. Lensa ialah cakera yang kecil dan jelas di dalam mata yang menumpukan sinar cahaya untuk membuat imej objek dilihat dengan jelas. Apabila tompok-tompok keruh itu menjadi semakin besar dari masa ke masa, penglihatan menjadi berkabut dan kabur. Katarak lebih lazim dalam orang tua, dan boleh mempengaruhi kemampuan anda melakukan aktiviti seharian, seperti memandu. Katarak yang tidak dirawat akan menyebabkan kebutaan.
Bagaimanakah katarak dirawat?
Pembedahan adalah satu-satunya cara untuk memperbaik penglihatan jika anda mempunyai katarak. Dalam pembedahan katarak (phacoemulsifikasi), potongan kecil dibuat di dalam mata anda; lensa lama dan keruh dikeluarkan dan lensa plastik yang baru diletakkan di tempatnya.
Anda biasanya sedar semasa pembedahan. Doktor menggunakan titisan mata yang mengandungi ubat bius (bius setempat) untuk menghentikan saraf-saraf mata anda menghantar isyarat sakit ke otak semasa pembedahan. Kadang-kala, tambahan kepada titisan bius mata, lidokain (sejenis bius setempat) mungkin disuntik ke dalam mata anda. Ini dapat mengurangkan kesakitan semasa dan selepas pembedahan.
Mengapakah kami melakukan ulasan ini?
Dalam Ulasan Cochrane ini, kami ingin mengenal pasti potensi manfaat dan bahaya suntikan lidokain ke dalam mata tambahan kepada titisan bius mata semasa pembedahan katarak.
Apa yang kami lakukan?
Pada bulan Februari 2020, kami mencari kajian yang melihat kepada kesan-kesan pemberian suntikan lidokain dan titisan bius mata, berbanding titisan bius mata sahaja, semasa pembedahan katarak. Kami mencari kajian rawak terkawal, sejenis kajian yang mana rawatan diberikan secara rawak kepada orang-orang dalam kajian kerana kajian-kajian ini biasanya memberikan bukti yang paling dipercayai mengenai rawatan.
Carian tarikh: kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 4 Februari 2020.
Apa yang kami temui
Kami menemui 13 kajian dengan 2355 orang dewasa, berusia 34 hingga 95 tahun, yang menjalani pembedahan katarak pada satu atau kedua-dua mata. Kajian-kajian itu dijalankan di hospital dan pusat rawatan mata di AS, Kanada, Australia, UK, Itali, Taiwan, Singapura, India, dan Pakistan.
Apakah keputusan ulasan ini?
Berbanding titisan bius mata sahaja, suntikan lidokain dengan titisan bius mata mungkin:
- mengurangkan tahap kesakitan yang dialami semasa pembedahan;
- mengurangkan jumlah orang yang merasa kesakitan semasa pembedahan;
- tidak mengurangkan tahap kesakitan yang dirasai selepas pembedahan; dan
- tidak menyebabkan kerosakan tambahan mata (diukur sebelum pembedahan dan selepas 1 dan 12 bulan).
Suntikan lidokain dengan titisan bius mata mempunyai sedikit atau tiada perbezaan kepada:
- bilangan orang memerlukan bius tambahan semasa pembedahan; dan
- kepuasan seseorang dengan pembedahan katarak (kami tidak pasti mengenai keputusan ini kerana ia berdasarkan satu kajian sahaja).
Bilangan kesan yang tidak diingini (buruk) berkaitan bius setempat adalah serupa antara orang yang mendapat titisan mata sahaja dan yang mendapat titisan mata dan suntikan lidokain. Tetapi kami tidak pasti mengenai keputusan ini kerana jenis kajian yang kami kaji mungkin bukan yang terbaik untuk menilai kesan-kesan yang tidak diingini.
Keyakinan kami terhadap keputusan
Kami berkeyakinan (pasti) sederhana dalam kebanyakan keputusan kami. Walau bagaimanapun, kami hanya melihat kepada jumlah kajian yang kecil, dan dalam beberapa kajian doktor-doktor mengetahui rawatan mana mereka beri, yang boleh mempengaruhi keputusan kajian. Keputusan kami mungkin berubah jika terdapat lebih banyak penyelidikan.
Kesimpulan
Suntikan lidokain tambahan kepada titisan bius mata mungkin mengurangkan tahap kesakitan semasa pembedahan katarak lebih daripada titisan bius mata sahaja, dan menyebabkan sedikit orang melaporkan kesakitan semasa pembedahan. Walau bagaimanapun, skala kesakitan untuk pembedahan ini secara amnya rendah dengan dan tanpa suntikan lidokain, maka perbezaan ini mungkin tidak penting secara klinikal.
Suntikan lidokain tambahan kepada titisan bius mata tidak mengurangkan tahap kesakitan selepas pembedahan. Walaupun suntikan lidokain tidak menyebabkan kerosakan tambahan mata, kami tidak pasti sama ada penggunaannya menyebabkan lebih banyak kesan yang tidak diingini daripada titisan mata sahaja.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my