Pemantauan kitaran yang dirangsang dalam rawatan kesuburan yang melibatkan persenyawaan in vitro (IVF) dan suntikan sperma intra-cytoplasmic (ICSI)

Soalan ulasan: bolehkah ultrasound sahaja digunakan dengan selamat tanpa menambah ukuran ujian darah estradiol untuk memantau wanita yang menjalani hiperstimulasi ovari terkawal semasa IVF dan ICSI? Kami mengkaji bukti mengenai pemantauan wanita yang menjalani hiperstimulasi ovari terkawal sebagai sebahagian daripada IVF atau ICSI oleh ultrasound transvaginal (TVUS) sahaja berbanding pemantauan gabungan tradisional (TVUS) dan tahap hormon darah (estradiol).

Latar belakang: Teknik pembiakan berbantu seperti IVF dan ICSI melibatkan proses dipanggil rangsangan ovari terkawal. Ovari dirangsang secara buatan untuk menghasilkan folikel dan kemudian ovulasi (pelepasan ovum atau telur yang matang) diinduksi supaya telur boleh diambil untuk digunakan sama ada dalam IVF atau ICSI untuk menghasilkan embrio di makmal. Secara tradisinya, wanita yang menjalani hiperstimulasi ovari terkawal sebelum induksi ovulasi telah dipantau oleh TVUS dan pengukuran tahap hormon estradiol dalam darah mereka. Matlamat pemantauan adalah untuk mengesan masa optimum untuk mendorong ovulasi (dengan memberikan human chorionic gonadotrophin atau hormon luteinizing) dan untuk menentukan tindak balas yang mencukupi terhadap hiperstimulasi ovari untuk membolehkan pengambilan telur, tetapi yang penting juga untuk mengenal pasti wanita yang berisiko keadaan jarang yang serius bagi sindrom hiperstimulasi ovari (OHSS). Ia telah dicadangkan bahawa protokol pemantauan yang dipermudahkan oleh TVUS sahaja mungkin boleh mengurangkan kebimbangan yang tidak perlu dan kos operasi semasa IVF dan ICSI.

Ciri-ciri kajian: kami menyertakan enam kajian rawak terkawal yang dijalankan di UK, Perancis, Sepanyol, Israel dan Amerika Syarikat, termasuk 781 wanita. Mereka membandingkan pemantauan dengan TVUS sahaja dengan TVUS ditambah kepekatan estradiol serum pada wanita yang menjalani hiperstimulasi ovari untuk rawatan IVF dan ICSI. Bukti adalah terkini sehingga Mac 2020.

Hasil utama: tiada satu daripada enam kajian melaporkan hasil primer kadar kelahiran hidup kami. Hanya empat daripada enam kajian melaporkan kadar kehamilan bagi setiap wanita; kami tidak pasti kesan pemantauan dengan TVUS sahaja berbanding TVUS ditambah pengukuran estradiol pada kadar kehamilan klinikal bagi setiap wanita. Penemuan kami mencadangkan bahawa pada wanita dengan 36% peluang kehamilan klinikal yang menggunakan pemantauan dengan TVUS tambah serum estradiol, kadar kehamilan klinikal menggunakan TVUS sahaja adalah antara 31% dan 46%.

Kami tidak pasti tentang sebarang kesan dalam bilangan purata oosit yang dapat diambil daripada setiap wanita.

Kami tidak pasti sama ada pemantauan dengan TVUS sahaja berbanding TVUS tambah pengukuran estradiol mempengaruhi kejadian OHSS. Bukti menunjukkan bahawa wanita dengan 4% peluang OHSS menggunakan pemantauan dengan TVUS tambah serum estradiol, kadar OHSS yang dipantau oleh TVUS sahaja adalah antara 2% dan 8%. Kadar pembatalan kitaran adalah serupa dalam kedua-dua kumpulan dalam dua kajian yang melaporkan hasil ini.

Kualiti bukti: bukti adalah berkualiti rendah. Had termasuk ketidaktepatan dan potensi berat sebelah disebabkan oleh penerangan yang tidak jelas tentang kaedah rawak, penyembunyian peruntukan dan pembutaan, serta perbezaan dalam protokol rawatan. Penilaian kualiti terhalang oleh kekurangan penerangan metodologi dalam beberapa kajian. Dua kajian melaporkan dibiayai oleh syarikat farmakeutikal, manakala empat kajian yang lain tidak melaporkan sumber pembiayaannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information