Rawatan untuk kerosakan tak sengaja saraf yang membekal sensasi kepada lidah, bibir bawah dan dagu semasa surgeri

Soalan ulasan

Soalan utama ulasan ini adalah berkesankah pelbagai rawatan dan bilakah masa yang sesuai untuk rawatan-rawatan tersebut susulan daripada kecederaan tak sengaja semasa surgeri saraf yang membekal sensasi kepada lidah, bibir bawah dan dagu.

Latarbelakang

Saraf (alveolar dan lingual) yang membekal sensasi kepada lidah, bibir bawah dan dagu boleh cedera akibat rawatan surgikal mulut dan muka, termasuk surgeri untuk membuang gigi geraham bongsu sebelah bawah. Kebanyakan (90%) kecederaan ini adalah sementara dan sembuh dalam tempoh lapan minggu. Namun, jika ia berlanjutan lebih dari enam bulan, ia dianggap kekal.Kecederaan saraf-saraf ini membawa kepada sensasi terubah di sekitar bibir bawah dan dagu, atau lidah atau kedua-duanya. Kecederaan kepada saraf yang membekal lidah juga boleh menyebabkan persepsi rasa yang terubah.Kecederaan begini boleh mempengaruhi kualiti hidup yang membawa kepada masalah emosi, masalah semasa bersosial dan hilang upaya.Kecederaan tak sengaja selepas surgeri juga boleh menimbulkan tuntutan mahkamah.

Terdapat banyak intervensi atau rawatan sedia ada, surgikal dan bukan surgikal, yang boleh menambahkan pemulihan, termasuk meningkatkan sensasi. Ia boleh dibahagi kepada

1. Surgikal - pelbagai prosedur.
2. Rawatan laser - rawatan laser tahap rendah telah digunakan untuk merawat kehilangan sensasi separa.
3. Perubatan - rawatan dengan ubatan-ubatan termasuk antiepileptik, antidepresan dan penahan sakit.
4. Kaunseling - termasuk terapi tingkah laku kognitif dan relaksasi, menukar tingkah laku dan hipnosis.

Ciri-ciri kajian

Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane membuat ulasan ini dan bukti adalah terkini sehingga 9 Oktober 2013. Terdapat dua kajian dimasukkan, kedua-duanya diterbitkan pada tahun 1996, yang membandingkan rawatan laser tahap rendah dengan plasebo atau rawatan palsu untuk kehilangan sensasi separa susulan surgeri rahang bawah. Terdapat 15 peserta dalam satu kajian dan 16 peserta dalam kajian yang satu lagi, julat umur mereka adalah dari 17 hingga 55 tahun. Semua peserta telah mengalami kecederaan tak sengaja kepada saraf rahang bawah dan lidah yang menyebabkan kehilangan sensasi selepas surgeri.

Keputusan utama

Hanya rawatan terapi laser tahap rendah dinilai dalam kajian-kajian tersebut dan ini telah dibandingkan kepada terapi palsu atau terapi laser plasebo. Tiada kajian yang menilai rawatan surgikal, perubatan atau kauseling yang lain.

Terdapat sedikit bukti tentang peningkatan apabila pesakit melaporkan sama ada sensasi adalah lebih baik atau tidak di sekitar bibir bawah dan dagu dengan terapi laser tahap rendah. Ini adalah berdasarkan keputusan satu kajian kecil, oleh itu keputusan perlu ditafsir dengan berhati-hati.

Tiada kajian yang melaporkan kesan rawatan terhadap hasil lain seperti sakit, kesukaran untuk makan atau bertutur atau rasa. Tiada kajian yang melaporkan kualiti hidup atau bahaya.

Kualiti bukti

Kualiti bukti keseluruhan adalah rendah akibat batasan dalam perlaksanaan dan laporan kedua-dua kajian tersebut dan bilangan peserta yang rendah, dan bukti hanyalah daripada peserta yang kehilangan sensasi separa.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information