Merawat penyakit gusi untuk mencegah hasil kelahiran mudarat dalam kalangan wanita hamil.

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada merawat penyakit gusi boleh mencegah hasil kelahiran mudarat dalam kalangan wanita hamil. Penyelidik Cochrane telah mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati terdapat 15 kajian yang berkaitan.

Mesej-mesej utama

Tiada bukti bahawa rawatan penyakit gusi mengurangkan bilangan bayi yang lahir sebelum 37 minggu kehamilan, namun ia mungkin mengurangkan bilangan bayi yang berat lahir kurang dari 2500 g. Adalah tidak pasti sama ada terdapat perbezaan dalam hasil kelahiran mudarat apabila kaedah yang berbeza untuk merawat penyakit gusi dibandingkan.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kesihatan gusi menjadi lebih teruk semasa hamil. Terdapat beberapa penyelidikan yang menghubungkaitkan penyakit gusi dengan hasil kelahiran mudarat. Ulasan in menilai kajian di mana wanita hamil dengan penyakit gusi dirawat menggunakan kombinasi beberapa teknik mekanikal dengan atau tanpa antibiotik.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Penulis ulasan mendapati terdapat 15 kajian yang berkaitan. Lima kajian adalah dari Amerika Utara, empat dari Amerika Selatan, tiga dari Eropah, dua dari Asia dan satu dari Australia. Sebelas kajian membandingkan penskaleran dan pengetaman akar atau penskaleran dan penggilapan tanpa rawatan sementara empat lagi kajian membandingkan penskaleran dan pengetaman akar dengan rawatan mekanikal alternatif.

Apabila wanita hamil dengan penyakit gusi yang menerima rawatan dibandingkan dengan mereka yang tidak menerima rawatan:

- tiada perbezaan nyata dalam bilangan bayi yang lahir sebelum 37 minggu (bukti berkualiti rendah);
-mungkin terdapat kurang bilangan kelahiran bayi yang lahir di bawah 2500 g (bukti berkualiti rendah).

Adalah tidak jelas sama ada sesuatu rawatan periodontium lebih baik daripada rawatan periodontium alternatif dalam mencegah hasil kelahiran mudarat.

Adakah ulasan ini terkini?

Para penulis ulasan telah mencari kajian yang diterbitkan sehingga Oktober 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my.

Tools
Information