Tujuan ulasan ini adalah untuk memberikan pemahaman yang lebih baik mengenai intervensi (rawatan) yang berkesan dan berguna bagi orang yang mengalami gangguan penukaran dan gangguan pengasingan. Intervensi yang kami lihat adalah bukan perubatan. Sebaliknya, ia melibatkan intervensi terapi atau sosial.
Latar belakang
Gangguan penukaran dan pengasingan adalah keadaan di mana orang mengalami gejala neurologi yang luar biasa (berkaitan dengan saraf dan sistem saraf) atau perubahan dalam kesedaran atau identiti. Penyakit neurologi atau keadaan perubatan lain tidak dapat menjelaskan tanda-tanda klinikal ini; selalunya terdapat tekanan atau trauma psikologi (yang mempengaruhi atau timbul dalam fikiran). Gejala itu nyata dan boleh menyebabkan kesusahan atau masalah dengan fungsi dalam kehidupan seharian bagi orang yang mengalaminya.
Ulasan ini bertujuan untuk membantu pesakit-pesakit ini, begitu juga dengan doktor, pembuat polisi dan perkhidmatan kesihatan yang bekerja dengan gangguan ini.
Soalan ulasan
Apakah bukti psikososial (berkaitan dengan faktor sosial dan pemikiran dan fikiran dan tingkah laku individu) intervensi bagi gangguan penukaran dan pengasingan?
Carian tarikh
Kami mencari pangkalan data perubatan antara 16 Julai dan 16 Ogos 2019.
Hasil carian
Kami membaca 3048 ringkasan artikel, menghasilkan 17 kajian yang memenuhi kriteria kami untuk keadaan, kumpulan orang, intervensi dan jenis kajian yang menjadi fokus ulasan ini.
17 kajian mempunyai 894 peserta, dan setiap kajiannya agak kecil.
Lebih banyak kajian sedang dijalankan, dan kami akan memasukkannya dalam kemas kini ulasan ini.
Ciri-ciri kajian
Kajian-kajian dilakukan di sembilan negara yang berlainan di seluruh dunia, dengan orang dewasa berusia 18 hingga 80 tahun, yang mempunyai diagnosis gangguan penukaran atau pengasingan untuk apa-apa jangka masa. Beberapa kajian dilakukan dalam persekitaran psikiatri atau neurologi. Beberapa kajian melibatkan orang yang sudah berada di hospital, beberapa melibatkan orang yang menghadiri klinik pesakit luar.
Intervensi itu semuanya psikososial, yang bermaksud bahawa mereka menumpukan pada intervensi psikologi atau sosial seperti terapi, hipnosis atau hanya mengajar orang tentang penyakit mereka. Bilangan sesi adalah berbeza-beza.
Kajian yang disertakan semuanya membandingkan intervensi dengan kumpulan kawalan untuk melihat apakah intervensi membuat apa-apa perbezaan. Kumpulan kawalan mendapat intervensi psikososial yang berbeza, ubat-ubatan atau rawatan yang biasanya orang akan dapatkan sekiranya mereka mempunyai keadaan yang sama tetapi tidak menjadi sebahagian daripada kajian penyelidikan.
Hasil utama yang kami cari adalah pengurangan tanda-tanda fizikal.
Hasil-hasil utama
Kami menyiasat kesan pelbagai jenis intervensi psikososial, berkisar daripada hipnosis hingga terapi tingkah laku. Tidak ada kajian yang dilakukan dengan piawai yang cukup tinggi untuk dapat mengatakan sesuatu yang meyakinkan mengenai bukti hasilnya.
Terdapat penurunan tanda-tanda fizikal pada akhir rawatan untuk tiga intervensi.
Hipnosis mengurangkan keterukan kemerosotan berbanding dengan orang yang berada dalam senarai menunggu untuk mendapatkan rawatan; terapi tingkah laku, yang diberikan sebagai rawatan rutin kepada pesakit dalam, mengurangkan jumlah kekejangan mingguan (fits) dan keterukan gejala berbanding dengan orang yang menerima rawatan rutin sahaja; dan psikoterapi yang didahului dengan wawancara motivasi (terapi bercakap yang cuba menjauhkan seseorang dari keadaan ketidaktentuan atau tidak yakin terhadap positif) berbanding dengan psikoterapi sahaja yang mengurangkan kekerapan kekejangan.
Bukti kualiti
Sebilangan besar kajian yang dilibatkan mengalami kelemahan metodologi dan kualiti bukti yang digunakan untuk menilai keberkesanan rawatan yang berbeza dinilai rendah atau sangat rendah. Oleh kerana bukti berkualiti rendah ini, kami tidak dapat mengatakan sejauh mana hasilnya boleh dipercayai.
Kesimpulan
Hasil analisis meta dan pelaporan kajian tunggal menunjukkan bahawa terdapat kekurangan bukti mengenai kesan intervensi psikososial gangguan penukaran dan pengasingan dalam orang dewasa. Oleh itu, adalah tidak mungkin untuk membuat kesimpulan mengenai potensi faedah atau kemudaratan dari kajian yang disertakan.
Walau bagaimanapun, ulasan menunjukkan bahawa penyelidikan dalam kawasan ini adalah mungkin.
Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane @rcsiucd.edu.my