Latar belakang
Gangguan penggunaan ganja adalah penyalahgunaan bahan terlarang yang biasa berlaku dalam populasi awam. Meskipun terdapat ramai pengguna ganja yang mencari rawatan, ujian klinikal untuk meneroka keberkesanan intervensi psikososial untuk gangguan penggunaan ganja adalah sangat jarang dilakukan.
Ciri-ciri kajian
Penulis ulasan memasukkan sejumlah 23 kajian yang melibatkan 4045 peserta dewasa yang kerap menggunakan ganja. Ulasan ini memasukkan kumpulan peserta yang terdiri daripada mereka yang sekurang-kurangnya 70% pengguna secara harian atau hampir mengambil ganja secara harian, atau melaporkan gangguan penggunaan ganja, atau mendapatkan rawatan untuk penyalahgunaan ganja. Purata umur peserta adalah 28.2 tahun. Kebanyakan peserta adalah lelaki (72.5% secara purata, tidak termasuk dua kajian yang hanya melibatkan wanita). Kebanyakan (15) kajian dilakukan di USA, dua di Jerman, dua di Australia dan setiap satu di Brazil, Kanada, Switzerland dan Ireland.
Kajian-kajian membandingkan tujuh jenis intervensi berbeza: terapi tingkah-laku kognitif (CBT), terapi pengukuhan motivasi (MET), kombinasi MET dan CBT (MET + CBT), pengurusan kontigensi (CM), sokongan sosial (SS), motivasi berasaskan kesedaran (MM) dan pendidikan dadah dan kaunseling (DC).
Penemuan utama
Sama seperti penyalahgunaan dadah yang lain, penyalahgunaan ganja adalah tidak mudah untuk dirawat dengan intervensi psikososial yang diberikan secara pesakit luar dan komuniti. CBT dalam sesi individu dan berkumpulan dan MET dalam sesi individu adalah rawatan yang paling konsisten digunakan; ia menunjukkan keberkesanan dalam keadaan yang terkawal. Secara khususnya, rawatan psikososial adalah berkesan secara konsisten berbanding tanpa rawatan dalam menurunkan frekuensi penggunaan ganja (dengan sembilan kajian menunjukkan hasil yang unggul dan empat menunjukkan hasil yang boleh dibandingkan), kuantiti penggunaan dalam satu sesi (tujuh kajian menunjukkan hasil yang unggul dan dua menunjukkan hasil yang boleh dibandingkan) dan keterukan pergantungan (dengan tujuh kajian menunjukkan hasil yang unggul berbanding dua menunjukkan hasil yang boleh dibandingkan). Sebagai perbandingan, rawatan adalah tidak semestinya lebih berkesan berbanding tanpa rawatan dalam memperbaiki masalah penggunaan ganja (dengan empat kajian menunjukkan hasil yang unggul berbanding tujuh menunjukkan hasil yang boleh dibandingkan), motivasi untuk berhenti (tiada kajian menunjukkan hasil yang unggul dan tiga menunjukkan hasil yang boleh dibandingkan), menggunakan bahan terlarang yang lain (tiada kajian menunjukkan hasil yang unggul dan tujuh menunjukkan hasil yang boleh dibandingkan) atau kesihatan mental (tiada kajian menunjukkan hasil yang unggul dan lima menunjukkan kajian yang boleh dibandingkan). Perbandingan kajian melaporkan keberhasilan rawatan adalah mungkin bagi subset kajian dengan susulan jangka pendek sekurang-kurangnya empat bulan. Analisa ini menunjukkan mereka yang menerima intervensi melaporkan pengurangan dari jumlah penggunaan ganja, kurang menggunakan dalam masa sehari dan melaporkan pengurangan gejala-gejala kebergantungan dan pengurangan masalah berkaitan ganja. Intervensi berintensiti tinggi lebih dari empat sesi dan diberikan lebih dari satu bulan, secara khususnya intervensi MET + CBT, adalah yang paling berkesan. Tambahan pula, intervensi telah dilengkapkan seperti yang diingini oleh kebanyakan peserta. Terutamanya, tiga kajian telah menyiasat keberkesanan intervensi psikososial berbanding dengan rawatan biasa yang dilakukan di pusat psikiatri pesakit luar dan melaporkan sedikit bukti tentang perbezaan yang signifikan dalam hasil rawatan. Akhir sekali, keputusan dari enam kajian, iaitu yang melibatkan rawatan pengurusan kontigensi sebagai rawatan tambahan, adalah bercampur, tetapi ia mencadangkan peningkatan dalam frekuensi penggunaan ganja dan keterukan kebergantungan apabila ia digabungkan dengan CBT atau dengan MET + CBT. Penyelidik melaporkan tiada kesan buruk.
Kualiti bukti
Bukti adalah terkini sehingga Julai 2015. Dua penulis ulasan (Le Foll dan Copeland) menerima derma nabiximols (Sativex) daripada GW Pharma, walaupun tiada penulis ulasan yang menerima penajaan langsung untuk melengkapkan ulasan ini. Kualti bukti untuk hasil utama adalah sangat rendah ke sederhana dan mempunyai had yang serius, kerana tiada kajian yang menilai semua hasil rawatan yang berkaitan, dan kepelbagaian antara ukuran yang dimasukkan adalah besar. Tambahan pula, penilaian dengan penggunaan bahan terlarang yang lain, termasuk penggunaan tembakau, atau penggunaan rawatan tambahan semasa tempoh ujian adalah kurang. Keciciran peserta adalah dibimbangi; secara purata, lebih dari 20% peserta dari setiap kajian menghilangkan diri pada fasa susulan akhir, tetapi kebanyakan kajian menangani kecenderungan keciciran melalui pelan analisis yang sesuai. Sebaliknya, kami menjumpai sedikit bukti tentang laporan atau bias yang selektif.
Diterjemahkan oleh Asmidar Alias (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my