Soalan ulasan
Apakah faedah dan kemudaratan rawatan untuk kerosakan saraf yang berkaitan dengan protein IgG dan IgA yang tidak normal dalam darah?
Latar belakang
Neuropati paraproteinaemik merujuk kepada neuropati yang dikaitkan dengan paraprotein (antibodi abnormal atau immunoglobulin (Ig) yang kadarnya terlebih dalam darah). Paraprotein berasal daripada sekumpulan gangguan darah yang dipanggil gammopati monoklonal. Jika paraprotein ada tanpa bukti sebarang penyakit yang mendasari, ini dikenali sebagai gammopati monoklonal yang tidak pasti kepentingannya (MGUS). Ulasan ini melihat kepada rawatan untuk neuropati yang dikaitkan dengan dan mungkin disebabkan oleh paraprotein IgG dan IgA. Rawatan optimum adalah tidak diketahui. Rawatan yang bertindak terhadap sistem imun seperti pertukaran plasma, kortikosteroid atau imunoglobulin intravena telah diperiksa dalam kajian tidak rawak pada orang yang mengalami neuropati paraproteinaemik IgG dan IgA.
Ciri-ciri kajian
Kami mengenal pasti hanya satu kajian rawak terkawal (RCT), yang membandingkan pertukaran plasma dengan pertukaran palsu, dalam 18 peserta dengan neuropati paraproteinaemik IgA atau IgG. Keputusannya dilaporkan selepas tiga minggu rawatan.
Keputusan utama dan kualiti bukti
Kajian tidak melaporkan ukuran hasil utama kami, iaitu peningkatan dalam ketidakupayaan yang diukur dengan skala yang disahkan enam bulan selepas rawak, atau hasil lain yang kami tentukan pada enam bulan. Kajian menunjukkan manfaat sederhana dalam penambahbaikan kelemahan dan ketidakupayaan keseluruhan seperti yang diukur oleh skor ketidakupayaan neuropati (NDS) dalam tempoh tiga minggu. Tiada peningkatan dalam skala masa ini dalam ukuran gangguan deria atau kajian elektrik saraf. Tiada kejadian buruk yang dilaporkan. RCT lanjut mengenai ini dan rawatan lain dengan bilangan peserta yang lebih banyak adalah diperlukan.
Ini adalah kemas kini ulasan pertama yang diterbitkan pada 2007. Kami tidak menemui kajian tambahan untuk dimasukkan. Bukti adalah terkini sehingga Januari 2014.
Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my