Soalan ulasan
Adakah bukti yang menyokong penggunaan rutin ubat antiepileptik (antiepileptic drug, AED) dalam mencegah sawan primer dan sekunder selepas strok?
Latar belakang
Sawan selepas strok adalah penting secara klinikal. Ia adalah tidak jelas sama ada AED berkesan dalam mencegah sawan selepas strok di kalangan orang dewasa.
Hasil kajian
Kami menjumpai dua kajian berciri prospektif, rawak, dwi-buta serta plasebo-terkawal, yang menilai kesan AED dalam mencegah sawan primer selepas strok. Kajian pertama melibatkan 72 orang dewasa; membandingkan asid valproik dengan plasebo, dan ia menunjukkan tidak ada perbezaan dari segi sawan selepas strok di antara kumpulan intervensi dan kumpulan terkawal. Kajian kedua melibatkan 784 orang dewasa, membandingkan diazepam dengan plasebo, dan ia tidak menunjukkan perbezaan dari segi sawan selepas strok di antara kumpulan diazepam dan kumpulan plasebo. Walau bagaimanapun, analisis subkumpulan infark kortikal peredaran anterior menunjukkan kemungkinan manfaat dengan profilaksis diazepam dalam tempoh tiga bulan pertama selepas strok. Secara keseluruhan, tiada bukti yang mencukupi untuk menyokong penggunaan rutin AED untuk mencegah sawan selepas strok. Kajian lanjut mengenai sama ada profilaksis AED diperlukan dikalangan semua strok atau pada strok dengan ciri-ciri khusus adalah wajar.
Kualiti bukti
Kami menilai kajian yang disertakan berada pada risiko keseluruhan bias yang rendah dan kepastian tentang bukti adalah rendah hingga sederhana. Ini bermakna penyelidikan lanjutan berkemungkinan memberi impak yang penting dalam peningkatan keyakinan kami terhadap penganggaran kesan dan perubahan penganggaran.
Bukti adalah terkini sehingga 9 March 2021.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau) dan disunting oleh Chan MW (RCSI & Ucd Malaysia campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my