Mesej utama
Kami dapati tiada bukti sebarang rawatan perubatan mempengaruhi tajam penglihatan (ketajaman visi), sama ada diukur dalam beberapa minggu atau lebih lama. Kami juga mendapati tiada rawatan perubatan yang menghasilkan kurang komplikasi dari hifema itu sendiri, walaupun bukti adalah lemah kerana kurangnya kejadian berlaku. Kami mendapati bukti terhad anti-fibrinolitik (ubat-ubatan yang mempengaruhi pembekuan darah) mengurangkan risiko pendarahan baharu di dalam mata.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu rawatan perubatan yang berkesan untuk pengurusan hifema traumatik, keadaan di mana darah terkumpul di segmen anterior (depan mata) berikutan trauma yang ketara (kecederaan fizikal pada mata). Adalah penting untuk menilai kemungkinan rawatan bagi hifema traumatik, kerana komplikasi keadaan ini boleh mempengaruhi penglihatan akhir.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang melihat rawatan perubatan (bukan pembedahan) berbanding rawatan perubatan lain atau kumpulan perbandingan lain dalam kalangan orang dengan hifema traumatik. Kami bandingkan dan rumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami temui?
Kami mendapati 30 kajian dengan sejumlah 2969 peserta yang menangani soalan ulasan kami. Kajian-kajian dijalankan di Amerika Syarikat, Kanada, Sweden, Denmark, China, Afrika Selatan, Malaysia, Iran, dan Israel. Kajian-kajian ini melibatkan lebih ramai lelaki berbanding wanita, dan kebanyakan peserta adalah kanak-kanak atau orang muda. Rawatan termasuklah agen antifibrinolitik oral atau diaplikasi terus ke mata (asid aminocaproic, asid tranexamic dan asid aminomethylbenzoic), kortikosteroid oral atau topikal, lain-lain jenis ubat titis mata, aspirin, estrogen, perubatan tradisional Cina, ‘patching’, elevasi kepala dan rehat atas katil. Kebanyakan kajian melihat berapa kerap perdarahan baharu terbentuk, kerana perdarahan sekunder ini sering dikaitkan dengan lebih komplikasi. Hasil-hasil lain termasuklah menilai ketajaman penglihatan dan tempoh masa yang diambil untuk darah meresap di dalam mata.
Keputusan utama
Kami tidak mendapati bukti yang menunjukkan sebarang rawatan perubatan mempengaruhi penglihatan akhir, tetapi umumnya kami mengred bukti sebagai kepastian rendah. Agen antifibrinolitik dilihat dapat mengurangkan risiko perdarahan baharu di dalam mata, tetapi peserta-peserta yang mengambil asid aminocaproic oral (agen antifibrinolitik) didapati lebih mengalami loya dan muntah berbanding mereka dalam kumpulan perbandingan. Adalah tidak jelas sama ada antifibrinolitik mengurangkan komplikasi pendarahan sekunder, kerana ia jarang berlaku di dalam kajian-kajian. Kami tidak menemui bukti untuk keberkesanan sebarang rawatan perubatan lain dalam mengurangkan kadar pendarahan segar atau bilangan komplikasi.
Apakah limitasi bukti?
Bukti untuk kesan bermanfaat bagi mana-mana rawatan yang dinilai adalah tidak pasti kerana bilangan peserta dan peristiwa adalah kecil.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Kami mengulas kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 22 Mac 2022.
Diterjemahkan oleh Erni Zurina Romli (Health Technology Assessment Section, Ministry of Health Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my