Kepentingan ulasan / latar belakang mengenai keadaan
Hepatitis C adalah penyakit hati yang disebabkan oleh virus hepatitis C. Secara global, kira-kira 170 juta orang dijangkiti virus hepatitis C secara kronik. Hepatitis C kronik boleh menyebabkan kerosakan hati dalam bentuk keradangan dan parut pada hati (sirosis). Kerosakan hati boleh menyebabkan kegagalan hati dan komplikasi lain, termasuk kanser hati. Matlamat rawatan hepatitis C kronik adalah untuk mencegah komplikasi jangkitan hepatitis C; ini mungkin dapat dicapai dengan membunuh virus dari darah pesakit (tindak balas virologi yang berterusan, iaitu RNA virus hepatitis C yang tidak dapat dikesan dalam serum dengan ujian kepekaan enam bulan selepas tamat rawatan). Walau bagaimanapun, penyelidik masih perlu memahami sama ada hasil tindak balas virologi yang berterusan yang disebabkan oleh rawatan antivirus mempunyai sebarang perhubungan dengan hasil berkaitan dengan pesakit dan klinikal. Gabungan suntikan mingguan peginterferon dan ribavirin oral mewakili piawaian penjagaan semasa.
Penemuan utama dalam ulasan ini
Ulasan mengenal pasti dan memasukkan 27 kajian klinikal rawak berbanding peginterferon ditambah ribavirin berbanding interferon ditambah ribavirin pada pesakit dengan hepatitis C kronik. Semua kajian mempunyai risiko berat sebelah yang tinggi, iaitu, membuat anggaran yang berlebihan pada manfaat dan memandang rendah pada kemudaratan. Jika penyelidik mengabaikan berat sebelah daripada kekurangan 'blinding' dan sokongan industri, maka 14 kajian dianggap mempunyai risiko berat sebelah yang lebih rendah. Kesemua kajian telah memaklumkan mengenai penghapusan virus daripada darah enam bulan selepas berakhirnya rawatan (tindak balas virologi yang berterusan). Penyelidik tidak dapat memastikan bahawa peginterferon ditambah ribavirin mempunyai kesan pada morbiditi yang berkaitan dengan hati serta kematian semua punca jika dibandingkan dengan interferon ditambah ribavirin. Kerana begitu banyak peristiwa yang berlaku,penyelidik tidak boleh mengecualikan kesan kebaikan atau kesan buruk. Ulasan ini menunjukkan bahawa peginterferon ditambah ribavirin berbanding dengan interferon ditambah ribavirin dengan ketara meningkatkan bilangan pesakit dengan tindak balas virologi yang berterusan (50.2% berbanding dengan 38.5%), tetapi penyelidik masih belum tahu tentang sebarang hasil yang berkaitan dengan pesakit.
Kesan sampingan
Peginterferon ditambah ribavirin berbanding dengan interferon ditambah ribavirin dengan ketara meningkatkan risiko kejadian buruk seperti neutropenia (kekurangan sel darah putih dalam darah), trombositopenia (kekurangan platelet darah dalam darah), arthralgia (sakit sendi), reaksi tapak suntikan, dan loya, tetapi kejadian buruk yang membawa kepada penghentian rawatan kekal sebanding untuk kedua-dua rawatan (12.3% berbanding 18.7%). Data mengenai pengaruh rawatan terhadap kualiti hidup adalah tidak mencukupi.
Batasan ulasan ini
Kesan ini terhadap tindak balas virologi nampaknya teguh untuk mengawal analisis untuk risiko kesilapan rawak, tetapi mungkin disebabkan oleh fakta bahawa semua kajian dianggap risiko berat sebelah yang tinggi. Selain itu, penyelidik masih perlu mempunyai bukti bahawa tindak balas virologi yang berterusan yang disebabkan oleh rawatan antivirus mempunyai sebarang perhubungan dengan hasil berkaitan dengan pesakit dan klinikal.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com