Menambah ribavirin dengan interferon meningkatkan jumlah pesakit yang bebas daripada virus hepatitis C tetapi akan juga menyebabkan beberapa reaksi buruk.

Di seluruh dunia, kira-kira 170 juta orang dijangkiti virus hepatitis C secara kronik. Hepatitis C adalah virus bawaan darah dan cara jangkitan adalah melalui penggunaan dadah intravena, jangkitan ibu kepada bayi, amalan-amalan perubatan yang tidak selamat, kelakuan seksual yang berisiko tinggi, dan transfusi darah. Hepatitis C kronik adalah jangkitan virus yang tidak berbahaya dalam kebanyakan pesakit, tetapi sebilangan kecil pesakit akan mengalami sirosis hati dan mungkin akan menghadapi komplikasi akibat sirosis atau mati daripadanya.

Adalah diketahui bahawa rawatan dengan ubat interferon menghilangkan virus hepatitis C dari dalam darah pada kira-kira 15% pesakit. Sorotan ini mengenal pasti kajian yang membandingkan ribavirin bersama interferon berbanding interferon sahaja dalam pesakit dengan hepatitis C kronik. Sorotan ini menunjukkan bahawa dengan menggabungkan keputusan dari semua kajian, menambah ribavirin kepada interferon meningkatkan jumlah pesakit yang bebas daripada virus hepatitis C sebanyak kira-kira 40% dan juga bilangan pesakit dengan histologi hati yang lebih baik. Ribavirin dan interferon mungkin boleh mengurangkan risiko morbiditi berkaitan dengan hati atau kematian daripada sebarang sebab. Namun demikian, bilangan pesakit yang perlu dirawat untuk mencegah seorang pesakit daripada mengalami morbiditi atau mati adalah sangat ramai. Selain itu, terapi kombinasi adalah dikaitkan dengan peningkatan risiko anemia dan beberapa reaksi buruk yang lain.

Keputusan ini menimbulkan dilema - patutkah kami, menambahkan ribavirin dengan interferon, lalu meningkatkan risiko hematologi, dermatologi, gastrousus, penyakit berjangkit, dan reaksi buruk yang lain dalam satu situasi di mana kesan pencegahan virus melalui intervensi ini bagi mengurangkan kematian daripada sebarang sebab belum lagi dapat ditunjukkan dengan jelas? Oleh itu, kami mencadangkan penggabungan intervensi ini hanya diaplikasi dengan memberi penekanan yang sangat tinggi terhadap kesejahteraan hidup pesakit secara individu. Selain itu, kami mencadangkan kajian pada masa akan datang dalam bidang ini seharusnya menumpukan perhatian terhadap reaksi buruk dan hasil klinikal jangka masa panjang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Julie Yeo (Taylor's University, Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi julieyeohh@gmail.com Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information