Carbamazepine untuk sakit neuropatik kronik dan fibromialgia dalam kalangan dewasa

Sakit neuropatik adalah sakit yang berpunca dari kecederaan saraf. Ia adalah berbeza dari mesej sakit yang dibawa oleh saraf sihat dari tisu tercedera (jatuh atau terpotong, atau lutut artritis). Sakit neuropatik dirawat dengan pelbagai ubat yang berbeza dengan ubat untuk tisu tercedera. Ubat-ubat seperti paracetamol atau ibuprofen adalah tidak berkesan untuk sakit neuropatik, manakala ubat-ubat yang kadangkala diguna untuk merawat kemurungan atau epilepsi boleh menjadi amat berkesan bagi sesetengah orang dengan sakit neuropatik. Kefahaman kami tentang fibromialgia (satu keadaan sakit berterusan, meluas dan nyeri, masalah tidur dan keletihan) adalah kurang, namun fibromialgia boleh dirawat dengan ubat-ubatan yang sama bagi sakit neuropatik.

Carbamazepine digunakan untuk merawat epilepsi, tetapi ia kini digunakan untuk merawat pelbagai jenis sakit kronik. Kami melakukan carian (sehingga Februari 2014) untuk mencari kajian klinikal di mana carbamazepine digunakan untuk merawat sakit neuropatik atau fibromialgia. Kami mendapati 10 kajian melibatkan 418 orang yang terlibat dalam kajian carbamazepine. Kajian-kajian umumnya tidak berkualiti baik. Kebanyakannya adalah kajian yang sangat kecil, serta tempoh yang singkat. Kajian yang bertempoh hanya satu atau dua minggu tidak membantu apabila sakit boleh bertahan bertahun-tahun.

Tiada bukti berkualiti yang cukup untuk mengatakan bagaimana carbamazepine berkesan dalam merawat keadaan sakit neuropatik. Peggabungan empat kajian kecil menunjukkan ia lebih baik daripada plasebo, tetapi keputusan itu tidak boleh dipercayai. Tiada cukup maklumat dari kajian-kajian tersebut untuk membuat sebarang komen yang boleh dipercayai mengenai kesan-kesan buruk atau mudarat.

Carbamazepine mungkin membantu sesetengah dengan sakit neuropatik kronik. Tidak mungkin untuk mengetahui lebih awal tentang siapa yang akan mendapat manfaat dan siapa yang tidak akan mendapat manfaat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (International Medical University). Disunting oleh Nooorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi peiyee95@hotmail.com.

Tools
Information