Alat untuk membantu kelahiran vagina

Pengulas menggunakan bukti dari kajian-kajian terkawal rawak untuk menilai pelbagai forsep dan cawan penyedut vakum yang digunakan untuk kelahiran vagina.

Apakah isunya?

Pada peringkat akhir proses kelahiran, apabila serviks (leher rahim) dilat sepenuhnya, kadang-kadang kelahiran bayi melalui vagina perlu dibantu dengan sesuatu alat. Ini mungkin disebabkan oleh ibu yang keletihan, bayi yang disyaki mengalami kesukaran, atau ibu dengan keadaan perubatan yang menghalang penolakan yang berlanjutan.

Dua jenis alat boleh digunakan: forsep atau cawan penyedut vakum. Forsep seterusnya dibahagikan kepada ‘forsep biasa’ untuk digunkan apabila kepala bayi berada di kedudukan yang betul dan ‘forsep putaran’, yang digunakan untuk memusingkan kepala bayi ke kedudukan yang betul. Cawan vakum boleh dibahagikan kepada cawan yang tegar atau fleksibel dan kepada yang mengandungi alat penyedut pegang atau yang bersambung dengan pam kaki atau elektrik oleh satu tiub. Pilihan alat sering ditentukan oleh keadaan klinikal, tetapi kadang-kadang terdapat juga pilihan.

Mengapakah ia penting?

Semua jenis alat boleh menyebabkan komplikasi kepada ibu atau bayi dan semuanya juga boleh berlaku kegagalan. Oleh itu adalah penting untuk memilih alat yang betul dengan keadaan klinikal untuk peluang terbaik bagi memastikan kelahiran vagina yang berjaya dengan risiko komplikasi signifikan yang paling sedikit.

Apakah bukti yangpengulas temui?

Pengulas menjalankan carian pada 14 Mei 2021. Penemuan adalah berdasarkan 31 kajian dengan sejumlah 5754 wanita dan bayi mereka.

Dua belas kajian yang melibatkan 3129 wanita membandingkan sebarang jenis forsep dengan sebarang cawan vakum. Forsep adalah lebih cenderung untuk mencapai kelahiran vagina, tetapi dengan jumlah koyakan perineum yang lebih banyak termasuk yang melibatkan anus atau rektum (kedua-duanya bukti kepastian rendah). Tiada bukti perbezaan dalam kadar perdarahan postpartum (perdarahan berat selepas kelahiran) antara kumpulan (bukti kepastian rendah). Tada bukti perbezaan dalam kemungkinan skor Apgar yang rendah (sistem pemarkahan yang digunakan untuk menilai keadaan bayi pada 1 dan 5 minit untuk menentukan seberapa baik mereka bertahan selepas kelahiran) dan pH arteri umbilikal yang rendah (ujian darah dari tali pusat untuk menilai tahap oksigen bayi sejurus sebelum dilahirkan) (kedua-duanya bukti kepastian rendah). Wanita yang menerima forsep memerlukan penahan sakit yang lebih tinggi, namun bayi kurang cenderung untuk menjadi jaundis.

Dua kajian kecil dengan 218 wanita membandingkan forsep rendah dengan sebarang cawan vakum, tetapi kebanyakan bukti adalah kepastian sangat rendah, maka pengulasi tidak dapat membuat kesimpulan yang bermakna.

Sembilan kajian melibatkan 1148 wanita membandingkan cawan tegar dengan cawan lembut dan mendapati bahawa cawan tegar mungkin lebih cenderung untuk menyebabkan kelahiran yang berjaya (bukti kepastian rendah), sementara itu, kemungkinan tiada bukti perbezaan dalam kadar koyakan perineum yang melibatkan anus atau rektum atau perdarahan postpartum (bukti kepastian rendah dan sederhana). Tambahan pula, tiada bukti perbezaan dalam kadar Apgar yang rendah dan pH arteri umbilikal yang rendah (bukti kepastian rendah).

Dalam empat kajian dengan sejumlah 962 wanita pengulas tidak menemukan bukti perbezaan dalam kemungkinan kegagalan kelahiran antara kumpulan cawan vakum pegang berbanding dengan peranti cawan vakum standard (bukti kepastian rendah). Sebagai tambahan, tiada bukti perbezaan dalam risiko trauma tisu rektum ibu (bukti kepastian rendah). Akhirnya, tiada bukti perbezaan dalam kadar perdarahan postpartum, pH arteri umbilikal yang rendah atau Apgar yang rendah antara dua kumpulan itu (bukti kepastian rendah).

Apakah maksudnya?

Keputusan mengenai alat mana yang digunakan adalah multifaktorial dan perlu mempertimbangkan kemahiran dan sumber yang ada serta kesegeraan untuk kelahiran. Pakar perubatan perlu memilih alat yang paling berkemungkinan untuk mencapai kelahiran yang berjaya dengan trauma yang paling sedikit terhadap ibu dan bayi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information